KUCHING: Seorang pembantu kedai serbaneka 24 jam di Jalan Petanak terpaksa berhadapan dengan detik mencemaskan apabila diacu senjata tajam dalam kejadian rompakan, awal pagi semalam.
Dalam insiden sekitar jam 4 pagi itu, premis itu didatangi seorang lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh yang bertindak menggoncang pintu premis yang dalam keadaan berkunci.
Menurut rakan sekerjanya, mangsa yang berusia 18 tahun yang ketika itu bersendirian, tidak mengesyaki apa-apa lalu membuka pintu kepada lelaki yang mendakwa ingin membeli air mineral.
“Bagaimanapun setibanya di kaunter pembayaran, lelaki berkenaan terus mengacukan parang pemotong daging ke arah mangsa sebelum mengambil beberapa kotak rokok dan wang,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Suspek kemudian melarikan diri ke arah rakannya yang menunggu di atas motosikal.
Laporan polis telah dibuat dan kes sedang disiasat.
Dalam kes berasingan, sebuah kantin di Hospital Umum Sarawak mengalami kerugian ribuan ringgit apabila menjadi sasaran pencuri yang memecah masuk premis berkenaan.
Difahamkan, insiden itu disedari pengusaha sekitar 6 petang kelmarin apabila mendapati pintu belakang dibuka secara paksa.
Pelbagai barangan dapur dilarikan, termasuk beberapa kampit beras.
Mangsa telah membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan.
Sumber: The Borneo Post
Tiada ulasan:
Catat Ulasan