Sabtu, 16 Mei 2015

"Lagenda Hantu Bangkit Di Kuching"

Boyan Kayong, satu legenda hantu bangkit (juga disebut sebagai orang kayong) yang cukup misteri di Sarawak. Ia dikaitkan dengan penduduk asal Kampung Boyan dan Kampung Gersik yang datangnya dari Pulau Boyan, Kabupaten Gresik di Jawa Timur. Terdapat versi lain yang menyatakan bahawa istilah kayong itu berasal dari bahasa Melanau di bahagian Matu Daro, dikaitkan dengan golongan perabangan, kisah ikan sebelah dalam masyarakat Melanau dan sebagainya. Tetapi menerusi sedikit pembacaan di laman sesawang, nama Boyan Kayong ini bermula di sebuah tempat di Indonesia.

"Pulau Boyan: Sejarah dan Fakta"

Boyan atau Bawean, merupakan gelaran penduduk yang berasal dari Pulau Boyan. Boyan membawa maksud 'ada sinar matahari' dan pulau ini dikenali sebagai Pulau Puteri kerana golongan lelaki keluar merantau ke segenap tempat di Nusantara. Di dalam pulau ini terdiri dari masyarakat Jawa dan beberapa kumpulan minoriti. Sebagai contoh, orang Aceh yang mendiami pulau ini dikenali sebagai Boyan Aceh. Orang Benua Kayong dari Kalimantan Barat yang mendiami pulau ini pula dikenali sebagai Boyan Kayong.

Penduduk Boyan antara golongan yang tekun berlayar dan merantau. Kebanyakan dari mereka berlayar ke Malaysia dan Singapura, meneruskan keturunan dan bermastautin. Menurut kajian Encik Khazin Mohd Tamrin dari Universiti Utara Malaysia pada tahun 1988, bancian pada tahun 1947 menunjukkan populasi kemasukan orang Jawa ke Sarawak meningkat, khususnya di Kuching dan membina penempatan- seperti Kampung Jawa, Kampung Semarang, Kampung Boyan, Kampung Gersik dan lain-lain. Kebanyakan penduduk Kampung Jawa dan Semarang berasal dari bahagian Jawa Tengah manakala penduduk Kampung Boyan dan Gersik pula berasal bahagian Jawa Timur dan Jawa Barat. Perbezaan penduduk Jawa pada penempatan dipengaruhi oleh keadaan semasa seperti pengaruh Belanda dan Inggeris pada awal 1900an dan juga empayar jajahan Jepun pada awal 1940an.

Boyan Kayong: Di sebalik Legenda.

Legenda Boyan Kayong ini kononnya bermula dengan kisah sebatang pokok kedondong gergasi yang membesar dari tahun ke tahun, menghalang cahaya matahari dan menyusahkan penduduk Boyan Kayong. Padahal selama ini Boyan membawa maksud 'ada sinar matahari' tetapi sejak pokok tersebut tumbuh, cahaya matahari semakin malap dan hasil tanaman tidak menjadi. Jadi, golongan lelaki Boyan Kayong memutuskan untuk menebang pokok kedondong tersebut tetapi usaha mereka tidak berhasil. Akhirnya, pokok kedondong itu bersuara pada hari ke-7dan memberitahu jika tubuhnya tumbang, sumpah bangkit akan bermula.

Walau bagaimanapun, penduduk tidak peduli. Pokok kedondong itu pun rebah ditebang dan penduduk mengadakan keramaian bagi meraikan kejayaan tersebut. Entah tiba-tiba, apabila menjelang malam, pokok kedondong bangkit semula selepas ditebang dan keesokan harinya, pokok itu ghaib. Sepertimana pokok tersebut bangkit selepas mati ditebang, penduduk di situ mula merasakan keanehan dalam hidup mereka. Sumpah pokok tersebut benar-benar terjadi, dan keturunan hantu bangkit pun bermula. Walaupun sumpah itu dikatakan mengejar selama 7 keturunan, ternyata sumpah itu masih berterusan sehingga ke hari ini.

Biasanya, keturunan Boyan Kayong dapat merasakan keanehan tersebut sebelum mati. Dikatakan, kebangkitan mereka dapat dihalang dengan mencucuk jarum emas pada hujung ibu jari kaki. Walaupun kesahihan perkara ini tidak dapat dipastikan dan ia kedengaran tahyul, semua kejadian ini datangnya dari kekuasaan Allah SWT. Wallahu'alam.

"Kisah Penglipur Lara Hantu Bangkit"

Kisah Satu

Hantu bangkit terkenal di Kuching pada era 70an dan 80an. Malah, semasa awal 90an, kisah ini masih berlaku, terutama sekali di Kampung Boyan dan Kampung Gersik. Pada sekitar tahun 70an, atuk admin (sebelah mak) suka bermukun dan menopeng. Aktiviti bermukun dan menopeng itu sering dianjurkan di Kampung Boyan. Pada suatu malam, atuk pergi ke Kampung Boyan sendirian menaiki perahu tambang dan aktiviti bermukun itu selesai pada lewat malam. Ketika atuk dalam perjalanan menuju ke Pengkalan Cik Omar (kini dikenali sebagai Pangkalan Boyan), atuk dikejar oleh hantu bangkit yang bersuara sengau dan berbau busuk. Atuk berjaya melepaskan diri dengan bantuan pokok pisang dan kembali semula ke Pangkalan Batu dengan selamat.

Kisah Dua

Sambungan dari kisah di atas, hantu bangkit biasanya mengejar sambil memekik-mekik apabila terserempak dengan manusia. Dikatakan hantu bangkit akan menangkap dan memeluk manusia sehingga mati. Ada banyak cara untuk mengelakkan diri dari dipeluk oleh hantu bangkit. Sebagai contoh, bantal peluk jadi pengganti. Tetapi jika perkara itu berlaku di kawasan luar, orang tua-tua menyarankan agar mencari pokok pisang berhampiran bagi menyelamatkan diri dari dipeluk oleh hantu bangkit.

Kisah Tiga

Entah betul entah tidak, ciri-ciri keturunan Boyan Kayong yang asli dapat dilihat menerusi lekuk bawah mata yang sedikit lebam dan renungan mata yang suram. Kononnya, kita tidak boleh menerima hadiah pemberian atau memulangkan semula apa yang kita pinjam dari orang yang berketurunan Boyan Kayong kerana terdapat kemungkinan kitalah orang pertama yang akan dikunjungi oleh orang tersebut apabila menjadi hantu bangkit. Dikatakan hantu bangkit akan datang ke rumah pada sebelah malam (selepas kematiannya pada sebelah siang) dan memekik-mekik meminta barangnya dipulangkan. Ketika zaman kolonial British di Kuching (zaman kolonial bermula dari era 50an sehingga 70an), hantu bangkit ini dikenali sebagai Hamlet.

Hantu Bangkit vs. Boyan Kayong

Kisah hantu bangkit ini jarang didengari di Kuching. Mungkin keturunan Boyan Kayong itu sendiri cuba melupakan cerita ini, atau pemodenan serta teknologi telah menutup kisah-kisah tersebut. Walaupun kisah Boyan Kayong dilihat sebagai legenda dan sebahagian daripada mitos Sarawak, kejadian hantu bangkit adalah kisah benar yang pernah terjadi di Kuching. Keturunan Boyan Kayong itu sendiri biasanya tahu tentang perkara tersebut (FYI, tidak semua golongan perabangan berketurunan Boyan Kayong). Walaupun kejadian hantu bangkit ini berlaku terlebih dahulu di Sibu (pada era 50an) manakala di Kuching pula bermula pada era 70an, masalah ini ternyata berlanjutan lebih lama di Kuching. 

Mungkin amalan manusia dan menuntut ilmu yang salah menjadi punca legenda ini wujud dan menjadi ingatan.


Aktikel asal: themaidensgiedd.blogspot.com  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan