Oleh: Edgar Ong
Sejak Perintah Gaji Minimum Malaysia 2012 berkuatkuasa pada 1 Januari 2014, gaji terendah bagi semua pekerja di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan ditetapkan pada RM800 sebulan, manakala di Semenanjung RM900 sebulan. Ini bermakna gaji minimum di Malaysia Timur adalah pada kadar RM3.85 sejam, atau jika ditukar kepada dolar Amerika hanyalah tinggi sedikit daripada US$1. Berikut adalah sedikit perbandingan gaji per jam dengan jiran-jiran kita, daripada terendah kepada tertinggi menurut Wikipedia (dalam US$): India – US$0.25; Vietnam – 0.29; Indonesia – 0.50; Filipina – 0.72; China – 1.21; Thailand – 1.22 Singapura – 3.80.
Kadar kita memang lebih tinggi berbanding 4 negara terendah, dan hampir menyamai China dan Thailand. Namun kita jauh di belakang Singapura – seperti yang dijangka. Apakah yang mampu dibeli dengan RM800 sebulan di Sabah dan Sarawak? Jika seseorang itu tinggal bersama keluarganya (iaitu masih tinggal dengan ibubapa ataupun saudara) dia tidak perlu membayar sewa atau elektrik, air atau lain-lain bil seperti telefon dan internet.
Tetapi beliau mungkin masih perlu menyumbang sedikit sebanyak – apa yang termampu. Jika dia tinggal sendiri namun bergaji sekali ganda, dan memiliki isteri yang turut berkerja dengan gaji yang sedikit lebih tinggi – maka dia adalah salah seorang yang bernasib baik. Malah individu itu mungkin memiliki sebuah kereta, menyewa sebuah rumah kecil atau memiliki keluarga. Namun, itu bermakna dia tidak mempunyai banyak lebihan gaji setiap bulan untuk dijadikan simpanan.
Mari kita lihat secara hipotesis bagi kes biasa; seseorang individu yang bergaji RM800 dan perlu menyara keluarga, di mana isterinya tidak bekerja kerana perlu menjaga sendiri anak yang masih kecil, memandangkan tiada ahli keluarga lain yang boleh membantu menjaganya. Katakanlah dia memiliki sebuah motosikal biasa yang digunakan untuk pergi bekerja, yang dibayar secara bulanan, dan tidak lupa belanja petrol.
Dia kemudian menyewa sebuah flat dua bilik, dengan bil elektrik dan air, serta perbelanjaan makanan, pakaian dan keperluan lain. Tidak banyak yang berbaki daripada gaji RM800 yang diperolehinya. Kebanyakan yang lebih berdaya usaha dan memiliki kemahiran biasanya akan cuba menambah pendapatan dengan cara tertentu – dia atau isteri barangkali pandai memasak atau membuat kuih, maka mereka akan menjual hasil itu di pasar malam.
Ada juga yang membuat kelas tuisyen matematik atau lukisan kepada anak-anak jiran mereka. Bagi yang pakar dalam bidang komputer, dia akan membaiki secara sambilan kepada kawan-kawan. Warga Malaysia biasanya akan mencari jalan untuk menambahkan pendapatan, dan rakan serta keluarga akan sentiasa membantu mereka dengan mendapatkan pelanggan atau memberi cadangan tentang peluang-peluang lain.
Namun, walau dengan ‘pendapatan tambahan’, ia juga bermakna kebanyakan yang di dalam kategori gaji minimum tidak akan mempunyai lebihan wang untuk hal-hal selain daripada keperluan asas – maka liburan seperti menonton wayang, makan di luar atau membawa anak berjalan-jalan ke taman tema pasti tidak lagi menjadi pilihan. Malaysia perlu melihat sedalam-dalamnya dan secara realistik tentang apa yang perlu diperbaiki dalam dasar gaji minima ini.
Kesatuan sekerja pernah mencadangkan agar ia dinaikkan kepada RM1,200 bagi Semenanjung, dan RM1,100 di Sabah dan Sarawak. Kerajaan tidak menerima cadangan itu, walaupun kenaikan 30 peratus itu bukanlah banyak dan belum sejajar dengan situasi sebenar. Hakikatnya kenaikan harga melanda hampir setiap barang sejak beberapa bulan lalu, dan kemungkinan besar harganya akan kekal begitu.
Kita kini berhadapan keadaan di mana golongan yang berpendapatan rendah terjejas teruk akibat dua masalah berganda, pelaksanaan GST dan kejatuhan nilai ringgit yang teruk. Ini telah memberi kesan besar kepada kehidupan mereka yang berada di dalam kategori gaji minima.
Satu per tiga, atau 33.8 peratus (daripada perangkaan 2010) daripada seluruh pekerja di Malaysia berada dalam kategori itu! Jika kita tidak melakukan sesuatu untuk menyelesaikan keadaan ini, atau membuat penilaian semula dengan segera, ditambah pula dengan isu harga barang yang masih melanda – tidak mengejutkan jika golongan satu per tiga ini akan bangkit besuara, dengan apa sahaja cara. Apabila tibanya saat itu, siapa tahu, nasi sudah menjadi bubur – dan anda rasa siapakah yang bersalah?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan