MIRI: Seorang lelaki membuat laporan polis setelah mendakwa jari kelingkingnya digigit isterinya yang berang kerana mangsa pulang lewat dalam kejadian di kediaman mereka di Kampung Lereng Bukit di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam itu menyebabkan jari kelingking tangan kiri mangsa berusia 26 tahun itu hampir putus.
Menurut sumber, sebelum insiden itu berlaku, mangsa baru sampai di rumah selepas membeli barang keperluan di sebuah pasar raya di sini.
“Bagaimanapun, belum sempat mangsa melepaskan lelah, tiba-tiba isterinya datang menghampirinya dalam keadaan marah-marah sambil membebel tidak puas hati kerana mangsa pulang lewat.
“Pada masa sama, berlaku pertengkaran mulut antara pasangan suami isteri itu dan keadaan semakin tegang apabila isterinya gagal mengawal perasaannya sebelum bertindak menggigit jari kelingking mangsa,” katanya.
Susulan kejadian, katanya mangsa nyaris kehilangan jarinya itu dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital. “Mangsa yang tidak berpuas hari diperlakukan sedemikian rupa serta bimbang keselamatannya pada masa akan datang mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan