Betong merupakan antara bahagian paling bongsu di Sarawak. (Kini Serian diangkat sebagai bahagian ke-12 dan paling bongsu). Dengan jarak 250 km ke Kuching dan 165 km ke Sibu. Harus diingat, tempoh perjalanan dengan jarak ini tidak boleh disamakan dengan lebuhraya di Semenanjung Malaysia!
Betong tidak mempunyai alternatif pengangkutan udara. Dengan situasi seperti ini, kebanyakkan penduduk pesisir dan di sekitar bahagian Betong perlu memilih antara Kuching mahupun Sibu untuk terbang ke Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Ironinya, penduduk di Betong perlu menempuhi perjalanan darat dalam tempoh 3-4 jam sebelum tiba ke lapangan terbang dan ini membawa kepada peningkatan kos perjalanan dan pelbagai aspek lagi.
Justeru, adalah molek kiranya impian untuk melihat pembangunan sebuah lapangan terbang di bahagian Betong yang berpotensi menjadi hub perhubungan yang lebih efisien untuk rakyat Sarawak dapat direalisasikan dalam masa terdekat.
Ramai yang sudah mula bosan menempuhi perjalanan darat ke Bintulu, Miri, Lawas dan juga Kuching. Potensi untuk penerbangan domestik juga dilihat mampu menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan pelancongan di Betong.
Betong kini sudah memulakan peranjakan dalam bidang pendidikan dengan wujudnya Politeknik Metro, Kolej Komuniti, MRSM Betong, GIATMARA, Kolej Vokasional dan terkini Institut Kemahiran Industri Melaka.
Dengan kewujudan sebuah lapangan terbang dilihat mampu menjana ekonomi dan memudahkan rakyat di sekitar Betong, Sri Aman dan Saratok. Penulis mungkin tidak pakar dalam soal ekonomi tetapi ianya menjurus kepada kemudahan kepada penjawat awam dan rakyat dalam menerima kemudahan penerbangan ke seluruh Malaysia.
Jika dibuat satu kaji selidik, ramai dikalangan penduduk di sekitar Betong berada di Selatan semenanjung khususnya di Johor malah ramai yang berkelana di Singapura. Ramai juga cikgu-cikgu dari semenanjung menabur bakti di disini. Mungkin dengan adanya lapangan terbang ini, boleh menarik mereka balik ke kampung halaman dengan lebih mudah walaupun cuti sekadar 3-4 hari.
Betong – Kuala Lumpur. Mungkin janggal bagi kita, tapi tidak mustahil untuk direalisasikan dengan penerbangan transit Betong – Kuching – Kuala Lumpur. Apa kata anda?
Kredit: Mohd Khairul Azha menulis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan