Ahad, 6 November 2016

Bodohlah jika tutup IPG Sarawak kata Adenan

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dilaporkan menolak rancangan kerajaan Persekutuan untuk menukar dua buah Institut Pendidikan Guru (IPG) Sarawak kepada kolej vokasional dengan menyifatkan tindakan itu sebagai 'bodoh'.

The Borneo Post hari ini memetik kenyataan Adenan sebagai berkata, bilangan IPG tidak perlu dikurangkan kerana boleh membahayakan matlamat kerajaan untuk mencapai nisbah 9:1 bagi guru-guru dari Sarawak dan bukan Sarawak yang berkhidmat di negeri ini.

"Saya telah menulis surat kepada perdana menteri untuk memaklumkan bahawa cadangan menukar dua kolej latihan guru (di Sarawak) ke sekolah teknik adalah bodoh.

"Saya tahu betapa pentingnya pendidikan teknikal tetapi tidak perlu dilakukan dengan mengorbankan dua kolej latihan guru," Adenan dilaporkan berkata semasa merasmikan sambutan peringkat negeri Hari Wanita 2016, semalam.

"Oleh itu, saya gesa kerajaan (Persekutuan) untuk mengubah keputusan ini," katanya.

Kementerian Pelajaran dalam kenyataan pada 29 Oktober yang lalu menjelaskan tidak ada IPG di negara ini akan ditutup, di tengah-tengah kekeliruan Bajet 2017 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sumber: Malaysiakini

Sabtu, 5 November 2016

Polis nafi ada sindiket jual organ di Sarawak

KUCHING - Polis Sarawak menafikan dakwaan kononnya dua kanak-kanak ditemui mati dengan beberapa organnya dijual di Kampung Daun Singai, Bau di sini yang tersebar luas menerusi laman sosial, Facebook semalam.

Semalam, dua individu memuat naik status dengan mengingatkan semua ibu bapa yang mempunyai anak kecil berhati-hati berikutan penemuan dua mayat kanak-kanak yang didakwa dibunuh dan organnya diambil dan dijual oleh seseorang di kampung berkenaan.

Suspek juga dikatakan telah ditahan selepas dipercayai melarikan diri menaiki van putih dengan cermin gelap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, tiada kejadian seperti itu berlaku di daerah Bau atau mana-mana tempat di Sarawak buat masa ini.

Sehubungan itu katanya, polis meminta dua individu berkenaan untuk menyerah diri di Balai Polis Daerah Bau bagi tujuan siasatan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.

Polis turut mengingatkan semua agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan sebarang berita tanpa kesahihan menerusi laman sosial kerana ia boleh mengundang kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Sumber: KosmoOnline

2 lelaki ditahan ketika leka tembak ikan

2 lelaki ditahan ketika leka "tembak ikan"
MIRI: Dua lelaki yang sedang leka ’menembak ikan’ terkejut dengan kehadiran sepasukan anggota polis yang menjalankan serbuan di sebuah premis perjudian di Jalan Haji Lampam, di sini petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah yang diketuai oleh Asisten Superintendan Unang Giang menyerbu premis berkenaan pada jam 3 petang.

“Semasa serbuan dua pelanggan lelaki berusia 40 dan 42 tahun itu sedang bermain judi dan mereka terkejut selepas menyedari kehadiran polis,” katanya di sini.

Katanya, seorang wanita warga Indonesia berusia 27 tahun yang merupakan penjaga premis berkenaan turut ditahan untuk membantu siasatan.

Khoo berkata, susulan serbuan itu, pihaknya merampas tiga unit simulator yang disyaki mengandungi unsur perjudian dan dua keping kad pengimbas kredit mesin simulator.

Menurutnya, wanita terbabit dan dua lelaki itu kemudian dibawa balik ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Tangkapan dan rampasan itu disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 5 (2) Ordinan Hiburan 2001,” katanya

Khamis, 3 November 2016

Gadis Trauma Dirogol Kekasih Nekad Kelar Diri

Kuching: Trauma selepas mendakwa dirogol rakan baik teman lelakinya, seorang wanita bertindak mengelar dirinya dalam satu insiden di Stutong Baru di sini, semalam.

Menurut sumber, mangsa berusia 16 tahun mendakwa dia telah diberi makan sesuatu dipercayai dadah sehingga menyebabkan dia khayal dan tidak sedarkan diri sehingga jam 3 pagi.

Difahamkan, mangsa yang menyedari dia telah dirogol oleh suspek berusia 35 tahun berasal dari Jalan Mendu di sini kemudian menjerit meminta pertolongan.

“Penduduk sekitar yang menyedari insiden tersebut segera menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.

“Polis yang tiba sejurus kemudian mendapati mangsa berlumuran darah selepas dikatakan nekad mengelar leher serta pergelangan tangannya dipercayai kerana trauma dengan apa yang menimpa dirinya.

“Suspek yang juga rakan teman lelaki mangsa kemudian ditahan untuk siasatan lanjut,” kata sumber yang memberitahu teman lelaki mangsa juga hadir di lokasi kejadian.

Mangsa yang cedera itu kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulans untuk rawatan dan pemeriksaan kesihatan.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat dan siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sumber: The Borneo Post
Foto: Sekadar Hiasan

Kes Sg Arip: 10 terbabit dilanjutkan reman

MUKAH: Sembilan lelaki dari Miri berkaitan siasatan kes bunuh di Ulu Sungai Arip, Balingian, Mukah dilanjutkan tempoh reman selama dua hari oleh Mahkamah Majistret Mukah pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Penyau, tahanan reman untuk sembilan suspek dari Miri dilanjutkan hingga 5 November ini.

"Mereka (sembilan orang) mendapat reman untuk dua hari," katanya kepada Utusan Borneo.

Ia dibacakan dihadapan Timbalan Pegawai Daerah Dalat Ismail Kasah untuk siasatan dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang lagi suspek turut dilanjutkan tempoh tahanan reman untuk enam hari (sehingga 9 November 2016) bagi siasatan kes dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan

Rabu, 2 November 2016

Warga Australia Hilang Di Mulu Dedah Diganggu Suara Yang Menyeramkan

MIRI – Bagai mati hidup semula. Itulah pengalaman pahit yang dilalui oleh seorang pengembara warga Australia, Andrew Gaskell, 26, selepas dia ditemui dalam keadaan lemah selepas 12 hari dilaporkan hilang di Taman Negara Mulu dekat sini sejak 20 Oktober lalu.

Ketika menceritakan pengalamannya, Gaskell berkata, dia di­selubungi ketakutan khususnya pada waktu malam kerana berada seorang diri di dalam hutan tanpa sebarang teman dan peralatan keselamatan di taman negara itu.

“Setiap kali malam menjelma, saya akan mula cemas dan takut kerana suara-suara yang me­nyeramkan pasti kedengaran di sekeliling saya.

“Adakalanya, suara yang saya dengar itu seakan-akan suara manusia selain bunyi binatang dan serangga,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Miri di sini semalam.

Sumber: Kosmo

Selasa, 1 November 2016

Sarawak tuntut status ‘rakan kongsi’ Malaysia dikembalikan, juga tuntut hak perairan selepas Ordinan Darurat mansuh – Adenan

KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri pada penghujung bulan ini dijangka panas apabila salah satu usul yang akan dibentangkan adalah berkaitan usaha mengembalikan status “rakan kongsi” penubuhan Malaysia seperti yang dipersetujui pada Perjanjian Malaysia 1963.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, usul itu akan berusaha untuk mengembalikan hak dan kepentingan Sarawak yang sebelum ini semakin terhakis.

“Status Sarawak sebagai ‘rakan kongsi’ Persekutuan Malaysia perlu dikembalikan kerana penurunan statusnya kepada sebuah ‘negeri’, yang terjadi pada 1976 tidak harus berlaku.

“Oleh itu, sekarang adalah masa yang amat sesuai untuk membentangkan usul terbabit secara komprehensif, termasuk mengupas kesemua hak dan keistimewaan yang harus dinikmati negeri ini seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perlembagaan Persekutuan dan Laporan Suruhanjaya Cobbold,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Projek Pembangunan Lapangan Minyak E6 Sarawak Shell Berhad dan Brooke Dockyard & Engineering Works Corporation, di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, Adenan berharap kepemimpinan Pusat perlu memberikan perhatian terhadap usul berkenaan.

“Sebelum ini, mereka (Parlimen) pada 1976 telah melakukan perubahan dengan menukar status Sabah dan Sarawak sebagai negeri ke-12 dan ke-13 dalam Persekutuan Malaysia.

“Kita mahu status asal diberikan kembali kepada negeri ini seperti yang dipersetujui pada 1963,” katanya.

Adenan menambah, usul berkenaan dijangka menyentuh hal berkaitan Akta Laut Wilayah yang secara automatiknya tidak lagi terpakai di negeri ini selepas Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969, yang menyentuh persempadanan perairan wilayah Malaysia dimansuhkan lima tahun lalu.

Persidangan DUN Sarawak bagi mesyuarat kedua bagi penggal pertama berlangsung bermula 21 hingga 30 November ini.

Kata Adenan lagi, Kerajaan Negeri juga dijangka akan mengemukakan usul khas berkaitan kawal selia industri minyak dan gas di Sarawak, terutama di Miri dan Bintulu.

“Ia mungkin dibentangkan pada persidangan DUN bulan ini atau tahun depan,” katanya.

Sumber: Sarawakvoice