Selasa, 3 Januari 2017

Kerana Dendam, 2 Cedera Ditetak Di Kuching



KUCHING: Hanya kerana dendam lama dua lelaki cedera akibat ditetak oleh empat lelaki berparang yang menyerang mangsa di rumah kediamannya Isnin lepas.

Dalam kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang itu, kedua-dua mangsa sedang berehat di ruang tamu rumahnya sebelum didatangi sekumpulan empat lelaki menyerbu rumah mereka di kawasan penempatan semula Stampin Baru disini.

Memetik laporan akhbar tempatan, kumpulan yang menaiki kereta Myvi tersebut terus menyerang mereka yang sedang berehat di rumah berkenaan sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan pihaknya telah menahan tiga suspek (lelaki) manakala seorang lagi suspek lelaki masih dijejaki.

“Susulan daripada insiden berdarah tersebut, kita telah menahan tiga suspek berusia dalam lingkungan 29 hingga 35 tahun dan merampas sebilah parang serta sebuah kereta jenis perodua Myvi” katanya.

Sehingga berita ini ditulis, polis masih menjejaki seorang suspek lelaki berasal dari Kampung Tabuan Foochow dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.-Sarawakiana

Tiada ulasan:

Catat Ulasan