Isnin, 16 Januari 2017

Tiada Tanglung Pada Sambutan Tahun Cina 2017 sebagai tanda penghormatan buat Allahyarham Tok Nan


Perpaduan kaum di Sarawak tidak dapat dipertikaikan lagi kerana amalan tersebut sudah sekian lama diamalkan. Perpaduan sebegini telah melonjak ekonomi negeri kepada satu tahap yang memberangsangkan apabila setiap kaum dapat bekerjasama antara satu sama lain.

Bukti persefahaman dan perpaduan jelas kelihatan ketika pemergian Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem ke Rahmatullah tempoh hari dan menyaksikan seluruh rakyat Sarawak yang berbilang kaum berasa sedih dan menghormati mengikut amalan masing-masing. Seluruh rakyat mengucap takziah melalui media sosial seperti Facebook dan sebagainya.

Yang menariknya terdapat pengguna Facebook mempunyai cara tersendiri menghormati pemergian Allahyarham. David Lim memuat naik status berbunyi :

"Sebagai tanda penghormatan dan berkabung kepada CM Alyhm Tok Nan...Kami tidak gantung Tanlung utk CNY tahun ini...RIP the people's CM...may God bless his soul....Amen,"

Memang menarik status facebook tersebut kerana ia satu penghormatan kaum Cina terhadap Allahyarham. Kaum Cina turut merasa kehilangan kerana peranan Allahyarham telah membuat sesuatu tindakan yang memberi manfaat kepada kaum Cina.

Beginilah masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Sarawak yang sentiasa mengamalkan perpaduan yang telah lama terjalin dan sentiasa menghormati kaum yang lain tanpa rasa ragu-ragu.-Sarawakiana

Tiada tanglung pada sambutan Tahun Baru Cina 2017



Perpaduan kaum di Sarawak tidak dapat dipertikaikan lagi kerana amalan tersebut sudah sekian lama diamalkan. Perpaduan sebegini telah melonjak ekonomi negeri kepada satu tahap yang memberangsangkan apabila setiap kaum dapat bekerjasama antara satu sama lain.

Bukti persefahaman dan perpaduan jelas kelihatan ketika pemergian Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem ke Rahmatullah tempoh hari dan menyaksikan seluruh rakyat Sarawak yang berbilang kaum berasa sedih dan menghormati mengikut amalan masing-masing. Seluruh rakyat mengucap takziah melalui media sosial seperti Facebook dan sebagainya.

Yang menariknya terdapat pengguna Facebook mempunyai cara tersendiri menghormati pemergian Allahyarham. David Lim memuat naik status berbunyi :

"Sebagai tanda penghormatan dan berkabung kepada CM Alyhm Tok Nan...Kami tidak gantung Tanlung utk CNY tahun ini...RIP the people's CM...may God bless his soul....Amen,"

Memang menarik status facebook tersebut kerana ia satu penghormatan kaum Cina terhadap Allahyarham. Kaum Cina turut merasa kehilangan kerana peranan Allahyarham telah membuat sesuatu tindakan yang memberi manfaat kepada kaum Cina.

Beginilah masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Sarawak yang sentiasa mengamalkan perpaduan yang telah lama terjalin dan sentiasa menghormati kaum yang lain tanpa rasa ragu-ragu.-Sarawakiana

Ahad, 15 Januari 2017

Dayang Nurfaizah Akan Dedikasi Lagu Lelaki Teragung Untuk Tok Nan Di Anugerah Juara Lagu

"Saya akan dedikasikan persembahan serta hati saya pada Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) nanti kepada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem," demikian kata penyanyi kelahiran Sarawak Dayang Nurfaizah.

Lelaki Teragung dendangan Dayang Nurfaizah antara 12 lagu yang layak ke pertandingan AJL31 yang bakal berlangsung pada 22 Januari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Dayang Nurfaizah berkata beliau menyedari harapan tinggi rakyat Bumi Kenyalang agar dendangan lagu itu nanti turut dibuat secaratribute kepada Adenan, bagaimanapun berkata sukar untuk mengubah konsep persembahan memandangkan semua perancangan sudah dibuat sejak sebulan lalu.

Persiapan semua sudah siap, minggu depan tinggal latihan bersama kumpulan orkestra dan juga kumpulan muzik (band) di venue pertandingan (PWTC). Jika konsep persembahan ditukar pelbagai perkara perlu diambil kira kerana perlu melibatkan ramai pihak juga.

"Biarpun konsep persembahan tidak ditukar saya akan dedikasikan persembahan serta hati saya nanti kepada Tok Nan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sejak semalam, rata-rata netizen (warga media sosial) melahirkan keinginan melihat Dayang Nurfaizah membuat persembahantribute (memberi penghormatan) ketika mendendangkan lagu Lelaki Teragung untuk Adenan nanti.

Dayang Nurfaizah menegaskan biarpun konsep persembahan itu nanti tidak dibuat secara tribute terus kepada Adenan, itu tidak bermakna semangat beliau sebagai anak Sarawak menjadi kurang.

"Saya tidak mahu buat tribute dengan sekadar letak gambar. Konsep persembahan perlu dibuat sebaik mungkin, dan seperti saya katakan tadi, kalau konsep persembahan yang sudah dibuat sejak sebulan lalu ditukar ia melibatkan ramai pihak," katanya.

Sebagai anak Sarawak biarpun berada Kuala Lumpur, pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty turut berkongsi kesedihan berita pemergian ketua menteri itu berkatatribute kepada Adenan mungkin boleh dilaksanakan dalam bentuk lain.

"Saya berharap kita boleh buat tributeatau something kepada Tok Nan. Kalau boleh ada pihak yang mengumpul penyanyi kelahiran Sarawak seperti Hafiz Suip, Bob AF serta mana-mana penyanyi lain dan kita buat persembahan itu nanti di Sarawak," katanya.

Berkongsi pengalaman membuat persembahan pada majlis yang melibatkan Adenan, Dayang Nurfaizah berkata Tok Nan seorang yang menyukai muzik.

"Bila buat persembahan kadang kala kita boleh nampak ada yang tidak ambil tahu pun tapi Tok Nan lain, dia tahu, dia hargai, enjoy serta menghargai persembahan tersebut. Saya amat berbesar hati diundang melibatkan majlis Tok Nan tambahan lagi sebagai anak Sarawak," katanya.

Dayang Nurfaizah berkata secara peribadi beliau tidak pernah bercakap dengan Adenan, namun sentiasa mengikuti perkembangan ketua menteri Sarawak kelima itu.

"Saya berada di Kuala Lumpur tetapi sentiasa ikut perkembangan beliau, semangatnya membela rakyat menerusi dasar-dasar yang dibuat membuatkan saya amat bangga sebagai anak Sarawak," katanya.

Bernama

Sabtu, 14 Januari 2017

Pada Saat terakhir nafasnya, Adenan masih fikirkan Sarawak


KUCHING: “Dia seorang ayah sama seperti manusia biasa, melakukan kesilapan tetapi sangat sempurna di mata anak-anak.

“Berprinsip, berdikari, bertanggungjawab, jujur, baik hati, sedikit tegas namun mempunyai kelembutan dan sangat penyayang.”

Demikian luahan anak perempuan Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Rafidah Adenan yang memuat naik status di laman sosial Facebooknya semalam.

Luahan panjang itu menarik minat pengguna Facebook untuk terus membacanya, baris demi baris dan ia pasti meruntun jiwa pembaca mengenang pemergian Allahyarham Adenan yang disifatkan perwira bagi semua rakyat Sarawak.

“Saya akan terus menyayangimu, Daddy, satu-satunya Daddy saya,” katanya.

Jelas Rafidah, meskipun baharu beberapa hari meninggalkan mereka, sukar baginya untuk menerima kenyataan itu.

Malah, beliau sendiri belum mempunyai kekuatan untuk masuk ke bilik tidur Allahyarham.

“Sereda-redanya saya ke atas pemergian Daddy, saya masih belum bersedia berdepan realiti. Tanpa kelibatmu berada di hadapan komputer sambil membaca atau menganalisis berita, juga tanpa kelibatmu berehat atau menonton siaran National Geographic dan History.

“Pemergianmu membawa sekali separuh jiwa saya tetapi Alhamdulillah, saya akhirnya menemui kedamaian dalam doa dan percaya suatu hari kelak kita akan bersama kembali,” luahnya.

Dalam luahan tersebut, Rafidah juga mengimbau kenangan terakhir bersama ayahnya sebelum Allahyarham pergi buat selamanya.

Katanya, ayahnya dimasukkan ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan pada hari Sabtu dan keesokan harinya, dia terbang balik ke Kuching dari Kuala Lumpur.

Sejurus sampai, Rafidah membina khemah di dalam bilik hospital di mana ayahnya ditempatkan dan menemani Allahyarham selama empat hari tiga malam, walaupun mengambil kesempatan keluar mengadakan perjumpaan atau pergi ke gimnasium sebentar.

“Dia kelihatan sangat lemah ketika saya sampai. Tetapi selepas beberapa hari, dia kelihatan agak sihat dan dengan diagnosis daripada doktor, kami semua menyangka dia sedang dalam proses untuk sembuh dan sihat kembali.

“Pada malam terakhir dia di dunia ini, saya berdua dengan Daddy, duduk di sampingnya di atas katil ditemani dua jururawat duduk di meja tugas mereka, hanya beberapa kaki jauh di belakang saya.

“Sudah tentu kita pada ketika itu tidak menyangka bahawa itulah malam terakhir dia. Dan jika kami tahu, sudah tentu seluruh keluarga pasti ada di sana ketika itu. Saya tidak akan melupakan malam itu. Ia satu malam sungguh sunyi.

“Hanya kedengaran bunyi nafas Daddy selain disusuli bunyi mesin diguna untuk mengempam tilam udara digunakannya. Dia kelihatan sangat tenang dan saya tidak dapat berhenti dari terus menatapi wajahnya.

“Banyak kali dia terjaga dari tidur dan menukar posisi baringnya di atas katil. Saya membantu melaraskan kesesuaian ketinggian katil dan menggosok belakangnya bagi memastikan dia berasa selesa dan tidur selesa.

“Ada juga dia meminta air bagi menghilangkan dahaga. Ada juga beberapa kali dia bergumam dalam tidur. Setiap kali apabila ia berkaitan dengan tugas, dia akan mengatakan ‘ini adalah tidak berpelembagaan’, atau ‘saya ada komitmen yang hendak dilakukan esok hari’.

“Malah di saat-saat akhir nyawanya, dia banyak memikirkan tentang negeri kesayangannya Sarawak.

“Pada keesokan paginya, dia sempat bersarapan pagi diikuti dengan sesi fisioterapi dan Puan Ah Ti, sahabat lamanya.

“Saya menyuapnya ais krim dengan roti, semestinya menjadi kegemarannya. Selepas itu beliau tidur dan saya mengambil keputusan keluar sebentar ke gimnasium.

“Namun selepas itu dia sudah tiada dan saya tidak sempat mengucapkan selamat tinggal. Dia pergi meninggalkan kami, dua jam selepas saya menyuapkannya ais krim di atas roti.

“Itulah interaksi terakhir saya dan Daddy. Banyak kali saya berdoa agar dia menunggu saya balik dari gimnasium tetapi aturan Allah adalah yang terbaik.

“Dia hanya meminjamkan Daddy kepada kami dan sekarang dia telah pergi,” luahnya lagi.

Rafidah juga memberitahu, dedikasi Allahyarham Adenan kepada negeri ini tidak unik kerana semua rakyat menyatakan dedikasinya kepada Sarawak tetapi kedudukan kekuatan dimilikinya dalam membuat perundingan terbaik kepada Sarawak dan rakyat negeri ini adalah berdasarkan keikhlasan dan integriti.

Maka itu, Rafidah berharap dan berdoa agar Ketua Menteri baharu Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan kepimpinan masa depan akan meneruskan legasi Allahyarham Adenan berdasarkan apa yang terbaik untuk negeri dan rakyat negeri ini.

Katanya lagi, Allahyarham Adenan juga melihat latar belakang kepelbagaian budaya di Sarawak sebagai sebuah kekuataan dan peluang bukan satu halangan.

“Dia merasakan bahawa sesiapa mahu melagakan kaum dan mahu satu kaum sahaja menikmati kemakmuran tanpa mempeduli kaum lain, tidak dialu-alukan di Sarawak dan lebih baik tinggal di pulau sahaja,” jelasnya.

Rafidah dalam tulisannya turut mengambil kesempatan meminta dua jururawat bertugas pada malam terakhir ayahnya agar menghubunginya kerana beliau ingin bercakap dengan mereka. -UB

“Kepada Dr Cheong, Dr Sim, Dr Tiong, Dr Alan, Dr Song, Dr ‘Physiotherapy’ dan doktor lain serta jururawat yang menjaga Daddy, saya sangat berterima kasih atas dedikasi anda.

“Anda telah melakukan yang terbaik dan saya sangat bersyukur. Ini semua aturan Allah SWT.

“Saya juga berterima kasih kepada semua rakyat Sarawak atas kasih sayang dan penghormatan yang diberikan kepada Daddy. Saya yakin Daddy juga amat menyayangi anda semua,” ujarnya.

Jumaat, 13 Januari 2017

Pelajar Sekolah Di Mukah Ditahan Kerana Fitnah Kematian Tok Nan

MUKAH: Seorang pelajar sekolah menengah ditahan polis hari ini kerana membuat kenyataan berbaur fitnah dan hasutan terhadap kematian Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata pelajar perempuan itu yang berumur 17 tahun menggunakan nama samaran  ‘Zera Zera’ di Facebook ditahan polis Mukah pada pukul 10.45 pagi tadi.

“Kesnya sedang disiasat CID Bintulu di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya sehingga hari ini sebanyak 40 laporan dibuat di 12 daerah polis dengan siasatan sedang dijalankan ke atas tujuh laporan.

Beliau memberitahu setakat ini lima individu telah ditahan oleh polis Sarawak kerana memuat naik kenyataan berunsur fitnah berhubung kematian Ketua Menteri. - Sarawakiana

Khamis, 12 Januari 2017

Jangan Persoal Cara Kaum Dan Agama Lain Menghormati Pemergian Ketua Menteri




Sarawak memiliki pelbagai kaum dan agama yang begitu menghormati kepimpinan Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem ketika hayatnya.

Bukan setakat umat Islam Sarawak dekat dihati malah kaum dan agama lain juga merasai perkara yang sama. Begitulah Sarawak yang mempunyai hampir 30 etnik yang menjadi warga Sarawak.

Allahyarham pernah menyatakan bahawa beliau adalah Ketua Menteri untuk semua kaum di Sarawak. Pernah juga menyatakan akan memperjuangkan hak seluruh kaum di negeri ini.

Pemergiannya tetap dilakukan dengan pelbagai cara anutan kaum yang beragama selain daripada Islam. Ini jelas membuktikan Allahyarham disayangi seluruh lapisan masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Sarawak.

Laungan Ooo Haaa sahaja dapat menyatukan seluruh rakyat yang begitu menyayangi Allahyarham. Melayu, Melanau, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Cina dan sebagainya tetap memahat segala jasa Allahyarham dalam jiwa dan mengenang setiap usaha dan pengorbanan Allahyarham terhadap rakyat Sarawak.

Bagi yang tidak memahami dan tidak mengetahui kehidupan yang harmoni di Sarawak disarankan agar jangan mempersoal cara dan budaya kaum dan agama lain menghargai jasa Allahyarham.

Inilah Sarawak yang begitu sayangkan pemimpin yang begitu berjasa dan melakukan penghormatan mengikut budaya dan agama masing-masing.-Sarawakiana

Siapa Pengganti Adenan?


KUALA LUMPUR: Ketika Sarawak masih berdukacita dengan pemergian ketua menterinya yang dikasihi rakyat Tan Sri Adenan Satem, tumpuan kini beralih kepada siapakah bakal menjadi penggantinya.

Benar, rakyat masih terkejut dengan pemergian mengejut Adenan yang lebih dikenali sebagai “Tok Nan”, pemimpin kesayangan mereka, namun persoalan mengenai siapa yang akan menggantikan beliau pasti bermain dalam fikiran mereka sekarang.

Adenan, yang dilantik sebagai ketua menteri kelima bagi negeri itu pada 28 Feb 2014, meninggal dunia di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan semalam.

Beliau akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-73 pada 27 Jan ini.

Menurut penganalisis politik, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) – yang merupakan tonggak bagi Barisan Nasional – yang menerajui kerajaan negeri – mempunyai kata putus mengenai pelantikan ketua menteri seterusnya.

Adenan menjadi Presiden PBB, yang mempunyai 40 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala parti-parti komponen BN lain pula mempunyai sejumlah 32 kerusi.

Semalam, ketika ditanya pemberita sama ada pemangku ketua menteri akan dilantik, Timbalan Ketua Menteri (TKM) Datuk Amar Abang Johari Openg berkata kerajaan negeri akan beroperasi seperti biasa dan buat masa ini akan memberi tumpuan kepada penghormatan terakhir kepada Adenan selayaknya.

Kerajaan Sarawak mengumumkan tempoh berkabung tujuh hari, dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang dan semua majlis negeri ditangguhkan sebagai menghormati pemergian beliau.

KAUKUS UNTUK MEMILIH PEMIMPIN BAHARU

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata memandangkan kaukus PBB diberi kuasa untuk memilih Ketua Menteri, mesyuaratnya pasti dinanti-nantikan.

“Saya jangka kaukus akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara ini selepas tempoh (tujuh hari) berkabung (Adenan).

“Tiada cara lain untuk memilih Ketua Menteri baharu kerana sistem ini telah termaktub dalam perlembagaan parti itu sejak 2002. Malah, Adenan juga dipilih melalui sistem kaukus parti,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Kaukus PBB, yang terdiri daripada kesemua wakil rakyatnya (Anggota-anggota Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri) serta senator, memainkan peranan yang penting dalam pemilihan calon untuk jawatan eksekutif tertinggi kerajaan negeri itu.

Sistem kaukus adalah sama dengan yang diamalkan oleh parti-parti politik utama di negara-negara maju seperti Kanada dan New Zealand. Di bawah sistem kaukus yang diamalkan oleh PBB, sesiapa yang dipilih sebagai Ketua Menteri akan secara automatik dilantik sebagai presiden parti dan pengerusi kaukus.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa pemilihan calon tidak bergantung kepada hierarki parti.

Pada masa ini, jawatan tertinggi mengikut hierarki dalam PBB terdiri daripada timbalan presiden parti iaitu Abang Johari, dan naib presiden Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Tan Sri Dr Alfred Jabu juga adalah timbalan presiden PBB tetapi beliau tidak bertanding pada pilihan raya negeri April lalu, menyebabkan namanya terkeluar daripada senarai calon berpotensi untuk jawatan ketua menteri.

Sarawak mempunyai tiga TKM, dua daripadanya adalah Abang Johari dan Uggah. Seorang lagi ialah Tan Sri Dr James Jemut Masing, yang merupakan presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), parti komponen kedua terbesar BN di negeri itu.

PEMANGKU PENGERUSI AKAN DILANTIK TERLEBIH DAHULU

Jeniri berkata apabila Adenan dipilih sebagai pengganti kepada Tun Abdul bTaib Mahmud pada 2014, Adenan tidak memegang sebarang jawatan penting dalam PBB.

Walaupun tiada siapa yang dapat meramalkan bagaimana ahli-ahli kaukus akan memilih pemimpin mereka seterusnya, Jeniri berkata berdasarkan pemerhatian beliau, aspek-aspek pengalaman dan tempoh perkhidmatan berkemungkinan menjadi kriteria pemilihan.

Sementara itu, pensyarah Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, percaya bahawa dalam tempoh beberapa hari lagi, pemangku pengerusi kaukus akan dilantik, yang kemudian akan mengatur mesyuarat kaukus untuk memilih ketua menteri seterusnya.

“Dan, setelah kaukus bermesyuarat dan memutuskan nama Ketua Menteri baharu, pemangku pengerusi memaklumkan pemimpin negeri (Taib),” katanya.

Ditanya, bila ketua menteri baharu itu mungkin diplih, Awang Azman berkata segalanya bergantung kepada tarikh berlangsungnya mesyuarat kaukus itu.

“Ia mungkin berlaku sebaik sahaja tamat tempoh berkabung atau selepas pilihan raya kecil (DUN Tanjung Datu yang baru kosong),” katanya.

ABANG JOHARI, UGGAH DAN AWANG TENGAH DALAM SENARAI

Walaupun Adenan tidak pernah menyatakan secara terbuka mengenai penggantinya kelak, terdapat desas-desus bahawa beliau sudah memikirkan mengenai penggantinya ketika menyenaraikan barisan tiga orang TKM.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Suffian Mansor berkata ia dapat dilihat daripada barisan penyandang di mana dua daripada mereka – Abang Johari dan Uggah – adalah daripada parti PBB.

“Selepas pilihan raya negeri (April lepas), Adenan memberikan beberapa petunjuk apabila beliau mewujudkan tiga jawatan timbalan ketua menteri, satu daripada dipegang oleh Abang Johari. Sama ada kaukus akan memberi perhatian terhadap bayangan itu atau sebaliknya, tiada siapa yang tahu tetapi ia hanya pandangan saya.

“Tetapi saya fikir anggota kaukus akan mengkaji siapa yang lebih senior dalam tempoh perkhidmatan dengan kerajaan negeri,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian Suffian, kedua-dua calon utama untuk jawatan ketua menteri adalah Abang Johari dan Awang Tengah.

“Walaupun Awang Tengah bukan Timbalan Ketua Menteri, dia adalah seorang menteri kanan negeri dan Naib Presiden Kanan PBB. Saya percaya bahawa parti dan Adenan telah mempunyai rancangan mengenai penggantinya selepas pilihan raya negeri tahun lepas,” kata beliau.

Seorang bekas pemimpin parti komponen BN negeri, yang enggan dikenali, menyatakan pandangan yang sama. Beliau berkata hakikat bahawa Adenan telah melantik Abang Johari sebagai seorang daripada tiga TKM mencerminkan bahawa beliau mempunyai pengganti berpotensi dalam fikirannya.

“Tidak masuk akal jika ia (pelantikan) tidak berkaitan dengan bakal pengganti,” kata beliau dan menambah kata bahawa secara tradisi, jawatan timbalan ketua menteri pertama telah diperuntukkan kepada pihak Pesaka dalam PBB kerana berlaku perkongsian kuasa dalam parti, yang ditubuhkan berikutan penggabungan Parti Pesaka (Dayak) dan Parti Bumiputera (Melayu Bumiputera/ Melanau) pada 1970-an.

Apabila Adenan mengumumkan barisan Kabinet Sarawak pada Mei tahun lepas, Uggah disenaraikan sebagai TKM 1, Masing TKM 2 dan Abang Johari, TKM 3.

“Masing dilantik sebagai TKM kerana kedudukannya yang paling kanan sebagai pemimpin parti komponan BN kedua terbesar di Sarawak. Jawatan TKM ketiga biasanya dikhaskan untuk kaum Cina tetapi, dalam kes ini, ia diberikan kepada Abang Johari.

Jadi sekarang kita mempunyai dua TKM daripada PBB dan hanya masuk akal bahawa seorang daripada mereka dinaikkan ke jawatan Ketua Menteri,” kata bekas pemimpin parti itu.

Beliau berkata sekiranya seorang daripada TKM dilantik sebagai ketua menteri baharu, jawatan TKM yang kosong berkemungkinan diisi oleh seorang wakil kaum Cina, kemungkinan besar daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang menunjukkan banyak kemajuan dalam pilihan raya negeri lepas.

Dalam pilihan raya pada April 2016, PBB memenangi kesemua 40 kerusi yang ditandinginya, PRS memenangi semua 11 kerusi, SUPP (tujuh daripada 13 kerusi), SPDP (tiga daripada lima kerusi), dan calon BN (11 daripada 13 kerusi). – Bernama