Rabu, 30 November 2016

Harga Petrol, Diesel Turun 5 Sen bermula Tengah Malam ini (1 Disember 2016)




Kuala Lumpur, 30 Nov - Harga runcit pagi petrol RON95, RON97 dan diesel akan turun sebanyak 5 sen bermula tengah malam ini, lapor Oriental Daily.

Penurunan ini menjadikan harga runcit seliter RON95 kepada RM1.90, RON 97 kepada RM2.25 dan diesel kepada RM1.85.

Harga petrol & diesel bagi Disember 2016:

- RON 95: RM1.90 seliter
- RON 97: RM2.25 seliter
- DIESEL: RM 1.85 seliter



Satok Uptown Civic Centre Akan Pindah Ke Jalan Main Bazaar

Kuching:  Satok Tourism Youth Uptown Market atau lebih dikenali sebagai Satok Uptown  yang dibuka pada setiap hujung minggu di Dewan Suarah Negeri di sini pada masa ini, akan dipindahkan ke Jalan Main Bazaar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata pemindahan pasar malam itu ke tapak baharu adalah bagi menyediakan persekitaran yang lebih baik dan sesuai kepada para peniaga.

“Perniagaan Satok Uptown di Dewan Suarah Negeri nampaknya bagus tetapi kita tidak dapat membenarkan mereka terus berniaga di sana.

“Jadi saya telah mengenal pasti satu tempat yang tetap kepada mereka untuk berniaga iaitu di Jalan Main Bazaar di mana kita akan menutup sebahagian daripada laluan tersebut untuk dijadikan sebagai tempat para peniaga kecil ini berniaga pada setiap hujung minggu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Makan Malam Mesyuarat Perhimpunan Perwakilan Tahunan (MPPT) Ke-21 Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) di sebuah hotel di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Presiden DUBS Datu Abang Helmi Ikhwan.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menambah dengan adanya tapak tetap untuk Satok Uptown tersebut, ia akan membuka peluang perniagaan kepada masyarakat di sekitar bandar raya ini.

Malah, katanya ia juga boleh menjadi lokasi untuk para busker membuat persembahan.

“Ini bermakna kita akan mempunyai sebuah pasar malam pada setiap minggu dengan pelbagai aktiviti,” katanya.

Satok Uptown adalah yang pertama di negeri ini, yang menjadi tempat bagi generasi muda menjalankan perniagaan dengan konsep ‘Uptown’.

Sejak dibuka pada tahun lepas, ia kini telah menjadi satu tempat yang menarik ribuan pengunjung pada setiap hujung minggu.

Pelbagai barangan dijual daripada pakaian, minyak wangi, barangan rumah, aksesori kereta dan bermacam-macam lagi yang ditawarkan pada harga berpatutan. -UB

Jumaat, 25 November 2016

Bapa Rogol Anak Sendiri Ditahan Polis

KUCHING: Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan polis di kediamannya di Kampung Sinjan, di sini, pagi tadi, atas dakwaan merogol anak kandungnya beberapa kali sepanjang 17 bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai, berkata lebih memeranjatkan kelakuan jijik suspek berkenaan pernah dilakukan di hadapan isterinya berusia 36 tahun dalam bilik tidur mereka dengan wanita itu enggan membantu, malah hanya membiarkan anak perempuannya dirogol di depan mata.

"Suspek ditangkap sekitar jam 10.30 pagi tadi selepas pihak polis menerima laporan daripada ahli keluarga terdekat mangsa.

Siasatan lanjut mendapati, mangsa dipaksa melayan kemahuan seks ayahnya kerana terlalu takut dicederakan dan diugut sekiranya enggan menuruti kehendak suspek.

"Selain itu, siasatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) mendapati mangsa disahkan mengandung tujuh minggu," katanya. Abang Ahmad berkata, polis terpaksa meminta bantuan Pegawai Kaunseling dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menstabilkan emosi mangsa.

"Mangsa dikesan mengalami trauma teruk sehingga tidak mampu membuat laporan polis walaupun mempunyai kesempatan berbuat demikian," katanya. Mangsa adalah anak kedua daripada enam adik beradik dengan lima daripadanya adalah perempuan. Perintah tahanan reman akan dipohon esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram. -BH

Khamis, 24 November 2016

Trek Lumba Akan Dibina Di Sarawak Untuk Manfaat Belia

KUCHING: Sukan bermotor yang semakin berkembang di Sarawak, kerajaan sepatutnya membina trek lumba untuk membolehkan golongan belia mengetengah bakat masing-masing memandangkan penganjuran dua perlumbaan tahun ini menggunakan jalan raya.

Sehubungan itu, Fazruddin Abdul Rahman (BN-Tupong) memohon kerajaan untuk mengenalpasti tanah untuk pembinaan trek perlumbaan sepanjang 800 meter dan lebar sekurang-kurangnya 50 meter.

Menurutnya, pelaburan tersebut tidaklah begitu besar kerana dapat memberi manfaat kepada ramai belia.

“Tahun ini sahaja terdapat dua penganjuran sukan bermotor menggunakan jalan raya sedia ada dan ianya telah menarik ribuan penonton dan penglibatan peserta dalam dan luar negara.

“Ini menunjukkan minat yang amat tinggi di kalangan belia-belia di Sarawak. Belia juga mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang permotoran,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2017), 2016 dan Usul Untuk Merujuk Resolusi Anggaran Pembangunan Bagi Perbelanjaan 2017.

Sebagai pengguna jelasnya, golongan belia harus dibawa bersama dalam merancang pembangunan trek tersebut.

“Ini adalah penting agar pembangunan ini dapat digunakan dengan sebaiknya. Saya pasti dengan adanya litar ini, aktiviti lumba ini akan dijalankan setiap bulan.

“Dengan kata lain perbelanjaan kerajaan tidak hanya menjadi ‘gajah putih’ tetapi ianya akan digunakan sebaiknya dan sekerapnya oleh belia,” ujarnya.

Fazruddin turut mencadangkan supaya kerajaan membuat ketetapan dimana perlumbaan yang dianjurkan di peringkat negeri wajib mendapat kelulusan kerajaan negeri menerusi kementerian atau agensi berkaitan.

“Kelab-kelab permotoran tempatan telah menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri kearah hasrat ini,” jelasnya. -Sarawakiana





Lelaki Khayal Pil Nospen Cuba Rompak Mesin ATM Diberkas Polis

KUCHING - Cubaan seorang lelaki yang berada dalam keadaan khayal dipercayai khayal pil nospen dan cuba untuk mencuri wang daripada sebuah mesin ATM di Public Bank Kota Sentosa pada awal pagi tadi gagal selepas dia diberkas oleh polis

Ketua Polis daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, dalam jam 4.20 pagi itu, suspek yang berusia 28 tahun itu ditangkap ketika sedang mengumpil mesin deposit cek tersebut menggunakan pemutar skru.

"Kejadian tersebut disedari oleh seorang pengawal yang bertugas di pejabat berkenaan.

"Sementara itu, Balai Polis Kota Sentosa telah menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Public Bank Kuala Lumpur mengenai tindakan lelaki terbabit.

"Dia kemudiannya terus memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis dan segera melakukan rondaan hingga berjaya menangkap suspek yang sedang cuba membuka mesin berkenaan," katanya.

Hasil pemeriksaan ke atas lelaki terbabit juga mendapati suspek di bawah pengaruh dadah dipercayai pil nospen.

Turut ditemui pada pemeriksaan itu adalah sebatang pemutar skru yang digunakan untuk membuka mesin tersebut di mana siasatan awal juga mendapati, suspek bergerak seorang diri dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Orang Asal Sarawak kemuka memorandum tuntut hsk kewarganegaraan

KUCHING: Orang Asal Sarawak mengemukakan satu memorandum bagi menuntut hak kewarganegaraan daripada kerajaan negeri.

Memorandum tersebut diserahkan oleh wakil Orang Asal Sarawak, Mujan Jok kepada Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah.

Bercakap pada sidang media di Bilik Media, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam, Mujan berkata memorandum ini merupakan desakan daripada semua Orang Asal Sarawak agar isu hak kewarganegaraan dan proses pemberian sijil lahir serta kad pengenalan diberi perhatian serius dan serta-merta.

Menurut Mujan, selama ini Orang Asal Sarawak, khususnya Orang Asal di kawasan pedalaman menghadapi masalah mendapatkan sijil lahir serta kad pengenalan.

Masalah ini sekali gus menafikan hak kewarganegaraan mereka sedangkan mereka merupakan kaum peribumi Sarawak dan Malaysia.

“Isu ini telah mengakibatkan hak-hak mereka sebagai Orang Asal dan rakyat Malaysia tidak diendahkan.

“Mereka tidak dapat pergi ke negara luar walaupun ke Semenanjung Malaysia, terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi kerana status mereka setaraf status orang asing, dinafikan hak kemasukan sekolah dan tidak boleh menikmati segala hak mereka sebagai rakyat Malaysia dan Orang Asal Sarawak,” katanya.

Laporan Country Reports on Human Rights Practices-Malaysia yang dikeluarkan oleh United States Department of States bertarikh 8 April 2011 melaporkan bahawa kerajaan telah berjanji akan mempercepatkan pemberian sijil lahir dan kad pengenalan untuk orang Penan.

Akan tetapi, janji ini tidak dipegang dan sehingga hari ini, beribu-ribu orang Penan dan Orang Asal tidak dapat dokumen kewarganegaraan mereka.

Tambah Mujan yang juga aktivis isu kad pengenalan di Sarawak, anggaran kasar penduduk yang tidak mempunyai kad pengenalan di Sarawak adalah seramai 30,000 orang dan senarai nama penduduk tanpa kad pengenalan yang ada ditangannya adalah seramai 1,500 orang.

Justeru, sebagai Orang Asal dan orang Sarawak, Mujan dan yang lain menuntut supaya sijil dan kad pengenalan segera diberikan kepada Orang Asal Sarawak.

Orang Asal Sarawak juga menuntut proses pemberian sijil lahir dan kad pengenalan harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya oleh kerajaan.

Proses permohonan harus dipermudahkan kepada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan segala birokasi dan prosedur yang tidak munasabah harus dimudahcarakan.

Keciciran dokumen dan kelewatan permohonan wajib dipertimbangkan selepas mengambil kira cara hidup Orang Asal yang berbeza dengan penduduk bandar. -UB

BN Sarawak tolak pelaksanaan hukum hudud

KUCHING: Ahli Parlimen daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) diarah membantah Rang Undang-Undang (RUU) Ahli Persendirian meminta  Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dipinda sekiranya ia dibentang untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Presidennya Datuk Dr Sim Kui Hian berkata arahan itu sejajar dengan pendirian tegas Barisan Nasional (BN) Sarawak yang kekal menolak pelaksanaan hukum hudud di negeri ini.

“Dalam mesyuarat dengan pucuk kepimpinan BN Negeri pagi tadi (semalam) Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) mengarahkan semua Ahli Parlimen BN menolak Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355).

“SUPP sejak awal lagi membantah rang undang-undang ini kerana ia tidak seiring dengan inti pati Perjanjian Malaysia 1963 yang ditandatangani,” tegasnya pada sidang media di Pusat Media Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Beliau turut mendedahkan bahawa mesyuarat itu turut dihadiri ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing dan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Masing merupakan presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) manakala Abang Johari dan Uggah masing-masing adalah Timbalan Presiden dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Dr Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan memberitahu bahawa semua parti komponen BN Sarawak bersetuju dalam hal itu.

“SUPP tidak bersetuju dengan pelaksanaan dua sistem pengadilan jenayah kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

“Ia juga boleh memberi kesan atau menjejaskan hak-hak dan gaya hidup semua rakyat Malaysia. Ia tidak diterima dalam masyarakat yang pelbagai kaum dan kepercayaan,” ujarnya.

Menurutnya DUN Kelantan telah meluluskan pindaan Kanun Jenayah Syariah 1993 tahun lalu tetapi tidak boleh dikuatkuasakan disebabkan wujudnya Akta 355.

“Sekali lagi PAS tidak hanya menunjukkan ia secara terang-terangan mengabaikan hak-hak dan sentimen semua kaum dan kumpulan agama lain di Malaysia tetapi dengan konsisten mencabar semangat Perlembagaan Persekutuan untuk kepentingan politik mereka.

“Seseorang (DAP) harus menjelaskan kepada rakyat, tidak cukup sekadar mereka sudah ‘bercerai’ (dengan PAS),” tegasnya.

Selasa lepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata RUU355 akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat minggu ini.

Katanya usul itu akan dibuat oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kerajaan juga akan mencadangkan supaya Jawatankuasa Pemilihan dibentuk untuk melibatkan Ahli Parlimen beragama Islam dan bukan Islam.

“Ini bagi memperincikan, memperhalusi dan memurnikan sebarang unsur yang tidak jelas mengenai pemisahan kuasa pada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Whip Barisan Nasional (BN) berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan dan taklimat khas berkaitan RUU itu yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen Selasa lepas.

Sebelum ini dilaporkan, usul berkenaan dibentangkan Hadi pada 26 Mei lepas melalui peruntukan Rang Undang-Undang Persendirian yang perlu dicadangkan oleh menteri untuk dibahaskan sebelum speaker membuat ketetapan mengenainya.

Usul Hadi itu diletakkan pada nombor empat peraturan mesyuarat pada hari pertama sidang Dewan Rakyat kali ini namun tidak sempat dibentang atau dibahaskan malah kerap kali bertukar nombor giliran.

Sidang Dewan Rakyat akan berakhir Khamis ini selepas berlangsung sejak 17 Oktober lalu.

RUU itu antara lain bagi meminda Seksyen 2 untuk menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan undang-undang persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A, iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman dibenarkan undang-undang syariah berkaitan hal kesalahan disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati. -UB