JOHOR BAHARU: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem malam tadi memberi amaran lebih tegas untuk membatalkan semua permit kerja petugas Petronas dari luar Sarawak, jika arahan moratorium yang dilaksanakan kini gagal.
Berucap di hadapan lebih 400 anak Sarawak dalam program Ngabas@Johor anjuran Persatuan Anak Sarawak Semenanjung di sini, Adenan menegaskan anak-anak Sarawak sendiri akan mengambil alih tugas tersebut sekiranya Petronas masih berdegil memberhentikan anak Sarawak yang menjadi kakitangan syarikat itu dan menggantikannya dengan petugas dari luar Sarawak.
“Kita sentiasa mahukan rakyat Sarawak diberikan keutamaan. Dan jika anda gagal berbuat demikian, kami akan bekukan permit kerja anda (Petronas),” katanya.
Ketika ini kebanyakan sumber petroleum dan gas Petronas di negara ini datangnya dari Bumi Kenyalang, terutamanya dari Miri dan Bintulu.
“Kita tidak lakukan tindakan ini serentak sekali gus. Kita laksanakannya satu per satu, dengan tindakan awal adalah melaksanakan arahan moratorium.
“Selepas ini kita akan meminta royalti kepada negeri Sarawak sebanyak lima peratus hari ini, ditingkatkan melebihi jumlah itu,” tegasnya.
Adenan sebelum ini melaksanakan serta-merta arahan moratorium terhadap permit kerja warga Petronas dari luar Sarawak berikutan tindakan syarikat minyak dan gas utama itu memberhentikan sekurang-kurangnya 13 pekerja anak Sarawak di negeri ini, lanjutan penstrukturan semula syarikat tersebut.
Biarpun mendapat kecaman sesetengah pengamal dan pengkaji ekonomi termasuk dari negeri itu senditi, namun majoriti rakyat Sarawak menganggap tindakan Ketua Menteri itu sebagai patriotik, demi melindungi masa depan rakyatnya.
Dalam ucapan sekitar 15 minit itu, Adenan turut menerangkan tindakan-tindakan yang diambil oleh kerajaan pimpinannya sebelum ini dalam menegakkan kebajikan rakyat.
“Yang paling penting adalah untuk menuntut autonomi daripada kerajaan Pusat berhubung kuasa-kuasa yang terhakis daripada kita, walhal ia telah dipersetujui dalam perjanjian Malaysia, Akta Malaysia 1963 dan dimeterai dalam cadangan dan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan pada 1963,” tegasnya.
Adenan berada di Johor selama sehari atas tugasan rasmi, termasuk merasmikan penutupan Bengkel High Performance Team penjawat kanan Kerajaan Negeri Sarawak, selain mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin.
Turut mengiringi beliau ialah tiga timbalannya, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri James Masing.
Hadir sama ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Pada majlis yang sama, Adenan turut melahirkan keyakinan bahawa atlet terjun negara yang berasal dari Sarawak, Pandalela Rinong akan mengutip emas Olimpik negara (dalam acara individu) setelah berjaya memperoleh perak dan gangsa sebelum ini.
“Kita bangga kerana Pandalela adalah anak Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan