Khamis, 29 Disember 2016

Bapa mengaku salah rogol anak



KUCHING: Seorang bapa berdepan hukuman penjara dan sebat selepas mengaku bersalah atas tuduhan merogol anaknya tiga tahun lalu di Bau.

Tertuduh, 46, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Dayang Ellyan Narisa Abang Ahmad di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan agar tempoh reman tertuduh dilanjut sementara menunggu hukuman dijatuhkan kerana pihak pendakwa belum bersedia dengan fakta kes tersebut.

Dayang Ellyan menangguhkan hukuman sehingga 10 Januari depan.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun di kediaman mereka di Bau pada 19 Julai 2013, kira-kira jam 10.30 malam.

Tertuduh dituduh di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan sama, seorang lelaki yang dipercayai teman lelaki mangsa turut didakwa di mahkamah atas kesalahan sama.

Tertuduh dikenali Then Ah Jen, 53, dari Kampung Pangkalan Tebang, Bau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 376 (1) kanun sama.

Namun, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Hakim turut memerintahkan tempoh reman tertuduh dilanjut sementara menunggu pengurusan praperbicaraan kes yang ditetapkan pada 23 Januari depan.

Mahkamah mengarahkan tertuduh mendapatkan khidmat peguam bagi mewakilinya dalam kes tersebut.-UB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan