Khamis, 29 Disember 2016

Bapa mengaku salah rogol anak



KUCHING: Seorang bapa berdepan hukuman penjara dan sebat selepas mengaku bersalah atas tuduhan merogol anaknya tiga tahun lalu di Bau.

Tertuduh, 46, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Dayang Ellyan Narisa Abang Ahmad di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan agar tempoh reman tertuduh dilanjut sementara menunggu hukuman dijatuhkan kerana pihak pendakwa belum bersedia dengan fakta kes tersebut.

Dayang Ellyan menangguhkan hukuman sehingga 10 Januari depan.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun di kediaman mereka di Bau pada 19 Julai 2013, kira-kira jam 10.30 malam.

Tertuduh dituduh di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan sama, seorang lelaki yang dipercayai teman lelaki mangsa turut didakwa di mahkamah atas kesalahan sama.

Tertuduh dikenali Then Ah Jen, 53, dari Kampung Pangkalan Tebang, Bau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 376 (1) kanun sama.

Namun, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Hakim turut memerintahkan tempoh reman tertuduh dilanjut sementara menunggu pengurusan praperbicaraan kes yang ditetapkan pada 23 Januari depan.

Mahkamah mengarahkan tertuduh mendapatkan khidmat peguam bagi mewakilinya dalam kes tersebut.-UB

Selasa, 27 Disember 2016

Askar maut motosikal dilanggar bas



SERIAN: Seorang anggota tentera dari Briged 3 Infantri, Kuching, terbunuh selepas motosikal dibonceng dilanggar bas ekspres di Kilometer 61, Jalan Kuching-Sri Aman, di sini, semalam.

Prebet Mohammad Haziq Irsyaduddin, 23, yang tercampak ke atas bonet sebuah pacuan empat roda, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan di kepala dan bahagian kanan rusuk.

Penunggang motosikal yang juga sepupu mangsa, Eirsard Emeir Yahya, 20, parah dan kini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Motosikal itu dilanggar bas dari arah belakang ketika berhenti di tengah jalan untuk membelok ke Kampung Hulu Serian di sini, jam 11.20 malam.

Jurucakap polis berkata, rempuhan itu menyebabkan Mohammad Haziq terpelanting ke atas bonet sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Fortuner yang datang dari arah Sri Aman.

Mangsa yang sedang bercuti tiga hari sejak Jumaat lalu, sepatutnya mula bertugas semula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-BH

Isnin, 26 Disember 2016

Cedera ditikam rakan sendiri ketika sambutan Krismas

KUCHING: Keriangan minum bersama teman bertukar insiden berdarah apabila seorang pemuda cedera ditikam rakan sendiri dalam satu pergaduhan di Taman Cahaya, Landeh dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian tersebut, lelaki berusia 34 tahun dikatakan sedang minum bersama beberapa rakan lain ketika menyambut Krismas.

Menurut sumber, insiden itu dipercayai berpunca daripada salah faham antara dua rakan lain yang menyebabkan sedikit pertengkaran.

Namun, pertelingkahan tersebut gagal dikawal sehingga tercetus pergaduhan.

Lebih malang, salah seorang kenalan rakannya bertindak menikam bahagian belakang mangsa menggunakan senjata tajam dipercayai pisau.

Kesan dari tikaman menyebabkan mangsa kehilangan banyak darah sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Bagaimanapun, keadaan mangsa kembali stabil setelah menerima rawatan termasuk menambah darah.

Menurut sumber, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa cedera selepas terkena tikaman sedalam lima sentimeter.

Tindakan menikam mangsa menggunakan objek tajam itu dipercayai di bawah pengaruh alkohol berlebihan.-UB

Sabtu, 24 Disember 2016

Remaja cedera dipukul gara-gara salah faham

KUCHING: Gara-gara salah faham, seorang remaja cedera di kepala dipercayai dipukul objek keras dalam insiden pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Song Thian Cheok awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun itu dikatakan sedang minum bersama beberapa rakannya.

Menurut sumber, terdapat sedikit salah faham antara mangsa dengan kumpulan lelaki lain berada di dalam premis berkenaan sehingga tercetus pergaduhan.

Pergaduhan berlanjutan sehingga ke luar kawasan premis mengakibatkan mangsa cedera di kepala selain dipecayai patah kaki.

Bagaimanapun, rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri daripada serangan kumpulan berkenaan.

Mangsa berlumuran darah kemudian dikejarkan hospital menerima rawatan lanjut.

Ketika di bahagian kecemasan, kawasan itu dipenuhi lebih 30 orang dipercayai rakan mangsa datang ke hospital sebaik mengetahui mengenai kejadian tersebut.

Namun, keadaan bertambah kecoh apabila rakan mangsa melarikan diri semasa insiden gaduh tersebut tiba di hospital.

Sumber berkata, segelintir lelaki dari kumpulan tersebut cuba bertindak memukul remaja berkenaan kerana tidak puas hati mangsa ditinggal berseorangan semasa pergaduhan.

Namun, kekecohan tersebut berjaya ditenangkan oleh pihak hospital dan polis yang berada di tempat kejadian.

Difahamkan, laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu untuk siasatan lanjut. -UB

Khamis, 22 Disember 2016

Pengasuh dera bayi direman tujuh hari



KUCHING: Seorang wanita berusia 57 tahun direman selama tujuh hari bermula semalam kerana disyaki mendera seorang bayi lelaki berusia lima bulan Selasa lalu.

Wanita berkenaan merupakan pengasuh yang juga sepupu kepada bapa mangsa telah ditahan pada Rabu lepas di sebuah rumah di Matang Jaya, dekat sini sekitar jam 1.45 pagi hari berkenaan.

Baca: Pengasuh Dera Bayi Ditahan Polis

Majistret Zulhairil Sulaiman mengeluarkan perintah reman sehingga 29 Disember ke atas wanita berkenaan bagi melengkapkan siasatan polis.

Dalam kejadian Selasa lepas, bayi malang tersebut dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat kecederaan parah di bahagian kepala disyaki didera suspek ketika menjaganya.-Sarawakiana

Rabu, 21 Disember 2016

Dua Lelaki Menyamar Sebagai Polis Rogol Wanita Indonesia Secara Bergilir-Gilir

MIRI: Dua lelaki menyamar sebagai polis menggari seorang wanita warga Indonesia dan merogolnya secara bergilir-gilir di sebuah rumah di Piasau Utara, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat, yang mengesahkan kes itu berkata, mangsa berusia 30 tahun diculik suspek pada jam 6 pagi menggunakan sebuah kereta berwarna putih.

“Mangsa digari dan diugut untuk dibawa ke balai polis jika ingkar arahan, termasuk melayan nafsu kedua-dua suspek,” katanya hari ini.

Leng Huat berkata, selepas dirogol, mangsa ditinggalkan di tepi jalan di sebuah pasar raya di Lutong pada jam 2.30 petang hari yang sama.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis dan dirujuk ke Hospital Miri untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan.

Selasa, 20 Disember 2016

Bayi koma disyaki didera pengasuh di Kuching

KUCHING: Seorang bayi lelaki berusia lima bulan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat kecederaan parah di bahagian kepala disyaki didera pengasuh.

Menurut sumber, kanak-kanak malang terbabit dikejarkan ke HUS oleh ibu bapanya selepas mangsa tiba-tiba tidak sedarkan diri sekitar jam 11 pagi semalam.

Difahamkan, mangsa kemudian telah diberikan rawatan kecemasan oleh pihak hospital sebelum dimasukkan ke ICU Kanak-Kanak untuk rawatan lanjut.

“Mangsa telah dimasukkan ke ICU Kanak-Kanak HUS kerana disyaki didera dan pemeriksaan awal mendapati kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan otak dan terdapat kecederaan daging otak serta pendarahan dalam mata.

“Mangsa (semasa kejadian) diletakkan dalam jagaan pengasuh di sebuah rumah di Matang,” kata sumber.

Susulan insiden tersebut, satu laporan polis telah dibuat oleh pihak hospital untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan semasa dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu siasatan berhubung kejadian masih dijalankan.

“Laporan telah dibuat oleh pegawai perubatan dari wad ICU Kanak-Kanak HUS dan kita difahamkan bayi terbabit masih dalam keadaan koma dan tidak stabil.

“Setakat ini (petang), siasatan masih dijalankan dan belum ada sebarang tangkapan dibuat,” katanya.-UB