Sabtu, 11 Februari 2017

Penyokong Pulau Pinang Mengamuk Selepas Kalah kepada Sarawak



BATU KAWAN – Kekalahan pasukan Pulau Pinang pada aksi Liga Super menentang Sarawak malam tadi, menimbulkan kekecohan di Stadium Negeri Batu Kawan, di sini.

Kekecohan dikatakan tercetus apabila penyokong fanatik skuad Harimau Kumbang merusuh di luar stadium selepas perlawanan tamat.

Sebelum itu ketika di dalam stadium sejurus perlawanan tamat, mereka turut menjerit kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

Mereka kemudian berkumpul di luar stadium selepas pasukan RELA dan anggota polis tidak membenarkan mereka berada di perkarangan stadium, sambil bertempik kerana tidak puas hati terhadap Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).

Mereka turut membaling botol air mineral dan mercun ke arah pasukan RELA dan anggota polis yang berkawal di hadapan pintu masuk stadium.

Tindakan agresif penyokong pasukan itu menyebabkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan DSP Shamsuddin Mamat yang turut berada di stadium, berkata keadaan terkawal dan kesemua mereka telah diarahkan untuk bersurai.

Beliau berkata setakat ini, tidak ada tangkapan dilakukan.

Pada aksi malam ini, Pulau Pinang tewas 0-1 kepada Sarawak, iaitu kekalahan keempat berturut-turut skuad Harimau Kumbang dalam empat aksi liga, setakat ini. – BERNAMA

Jumaat, 10 Februari 2017

BR1M Akan Ditambah Jika Harga Minyak Naik

KERAJAAN sedia menambahkan pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sekiranya harga minyak petrol melebihi paras RM3 seliter.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani menegaskan, kerajaan memahami tekanan kos sara hidup yang dihadapi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Golongan B40 terdiri daripada golongan pendapatan bulanan sehingga RM3,855.

"Kerajaan akan terus memantau harga minyak petrol di pasaran. Sekiranya harga terus meningkat dan pendapatan negara bertambah, kerajaan mungkin akan mempertimbangkan untuk terus membantu golongan yang berpendapatan rendah.

"Sekiranya harga minyak terus naik melebihi RM3 seliter, kami faham keadaan yang bakal dialami oleh golongan B40 ini. Kerajaan akan mengeluarkan satu mekanisme," kata Johari seperti yang dipetik dalam Sin Chew Jit Poh.

Menurutnya, BR1M sebanyak RM1,200 pada masa itu tentunya tidak mencukupi lagi, oleh itu kerajaan akan meningkatkan jumlah bantuan bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak. Bagaimanapun, sekiranya harga minyak merosot, kerajaan perlu mengambil semula BR1M. 

Johari turut berkata, kerajaan juga mengkaji pelaksanaan di beberapa negara maju dengan membiarkan harga minyak terapung dan penggiat industri minyak dan gas akan menentukannya.

“Apabila kerajaan membuat keputusan mengenai harga siling, sama ada penggiat industri minyak dan gas mahu menjual minyak pada harga rendah bagi tujuan promosi, itu terpulang kepada mereka. Ini antara pilihan yang kami sedang teliti. 

"Namun sebelum melaksanakannya, kerajaan perlu mengkaji apa kesan dan akibatnya kelak,” katanya. -SH

Gerhana Bulan Penumbra pagi esok




KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan sebahagian daripada fasa Gerhana Bulan Penumbra pada jam 7.25 pagi esok.

Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, fenomena itu dapat disaksikan di Malaysia seawal jam 6.34 pagi dan berakhir pada 10.53 pagi.

Menurut agensi itu, Gerhana Bulan Penumbra berlaku apabila bulan memasuki bayang-bayang penumbra bumi dan kelihatan sedikit gelap.

"Matahari, bumi dan bulan berada dalam kedudukan yang mana bulan membelakangi bumi dan hanya menerima sebahagian daripada bayang-bayang bumi jatuh ke atas bulan.

"Oleh itu, sukar membezakan antara bulan penuh normal dan Gerhana Bulan Penumbra.

 

"Agak sukar juga melihat perubahan di permukaan bulan ketika fenomena ini.

 

"Ia mungkin kelihatan lebih jelas dengan bantuan peralatan seperti teleskop atau binokular. Faktor cuaca turut mempengaruhi," katanya.

ANGKASA tidak mengadakan program pencerapan untuk orang awam untuk fenomena itu. -BH

Khamis, 9 Februari 2017

Keluarga mangsa dibaham buaya di Santubong mohon buaya menyerang ditangkap dengan segera

KUCHING: Keluarga mangsa serangan buaya di Sungai Santubong di sini memohon pihak bertanggungjawab agar menangkap reptilia tersebut demi keselamatan penduduk.

Seorang ahli keluarga mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Li, 50-an, berkata populasi buaya semakin membimbangkan terutama kepada para nelayan yang menjadikan sungai tersebut sebagai sumber rezeki.

“Ini bukan kes (serangan buaya) pertama dan disebabkan itu, kita merayu kepada kerajaan serta pihak yang berkenaan untuk bertindak segera mengurangkan populasi buaya.

“Kami (nelayan) bergantung kepada sungai tersebut untuk sumber rezeki dan kami tidak mahu insiden seperti ini terus menghantui kami,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Menurut Li, buaya terbesar pernah dilihatnya di sungai tersebut dianggarkan sepanjang sehingga 15 kaki dan empat kaki lebar.

“Sebelum ini, pernah juga pihak-pihak tertentu berjaya menangkap buaya, tetapi ada lagi buaya lebih besar dan pernah juga penduduk kampung melihat sebesar sebuah van,” jelasnya.

Sekitar jam 10.30 pagi semalam, anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui separuh daripada mayat dipercayai mangsa Selamat Raub, 54, yang dilaporkan hilang ketika menjala udang di tebingan sungai tersebut.

“Dia (mangsa) keluar sekitar jam 10 malam tadi (kelmarin) dan sehingga jam 5 pagi tadi (semalam) dia masih belum pulang menyebabkan ibu terus membuat laporan polis berhubung kejadian,” kata anak mangsa yang enggan meneruskan temu bual selepas itu.

Sementara itu, menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Farhan Sufyan Borhan, anggota SAR menemui barang-barang milik mangsa sekitar jam 9.46 pagi.

“Operasi pencarian dilakukan di sepanjang tebingan sungai dan anggota kita berjaya menemui barang-barang mangsa seperti telefon bimbit dan bekalan  makanan.

“Pada jam 10.29 pagi, separuh mayat (dari paras pinggang ke kaki) dipercayai mangsa berjaya ditemui kira-kira tiga kilometer dari lokasi barangan mangsa ditemui,” kata Farhan, semalam.

Difahamkan, operasi mencari sebahagian lagi badan mangsa dihentikan sekitar tengah hari semalam atas faktor keselamatan pasukan keselamatan.

“Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah dihubungi untuk tindakan selanjutnya,” kata Farhan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak. -UB

Rabu, 8 Februari 2017

Empat gerai di Jeti Samarahan terbakar

Kota Samarahan - Empat buah gerai yang terletak berhampiran Jeti Feri Kota Samarahan di Jalan Muara Tuang dekat sini musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu telah mengakibatkan tiga buah gerai menjual kuih dan minuman tersebut musnah terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi terbakar kira-kira 30 peratus.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, Kam Liman berkata,sembilan anggota bomba bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.34 pagi.

Katanya, sebaik tiba, api sedang marak membakar tiga daripada lapan buah gerai yang terletak di situ.

"Kepantasan anggota bomba melakukan kerja-kerja pemadaman api berjaya menyelamatkan empat buah gerai daripada turut musnah terbakar," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.Mengulas lanjut, Kam memberitahu, punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu masih lagi disiasat."Operasi pemadaman api tamat sepenuhnya pada pukul 6.38 pagi," katanya.

Bunga Pakma Berkembang sehingga Jumaat Di Gunung Gading



Pekan Lundu yang lanskapnya berlatar belakang Gunung Gading akan menghadapi fenomena yang mungkin masyarakat luar dapat saksikan.

Walaupun sedang giat parti-parti politik melakukan kempen politik Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, Gunung Gading akan menjadi tumpuan orang ramai untuk melihat bunga pakma (Rafflesia) berkembang.

Bunga Pakma adalah bunga terbesar di dunia dan ia hanya terdapat di kawasan hutan hujan tropika. Selain daripada Gunung Kinabalu, Gunung Gading menjadi tempat bunga ini hidup dan membiak.

Bunga Pakma spesis 'Tuan Mudae' adalah spesis yang subur di Gunung Gading dan jangka hayat ia berkembang hanya tujuh hari.

Dalam masa berkempen ini, datanglah ke Taman Negara Gunung Gading untuk menyaksi sendiri Bunga Pakma berkembang kerana fenomena sebegini akan menjadi pengalaman yang cukup berharga kepada pengunjung.-Sarawakiana

Komet Akan Hampiri Bumi 11 Februari Ini



KUALA LUMPUR – Komet dikenali sebagai 45P/Honda-Mrkos-Pajdusakova akan berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi pada 11 Februari ini.

Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dalam satu kenyataan media di sini hari ini memberitahu, komet tersebut akan berada pada jarak 12,430,000 kilometer dengan planet Bumi.

Lintasan Komet Ke-8 Paling Menghampiri Bumi 11 Februari

“Dengan kecerahan dijangka mencecah magnitud enam, ia dapat dilihat agak mudah menerusi binokular ataupun teleskop kecil,” kata kenyataan itu.

Menurut Angkasa, fenomena alamiah tersebut merupakan lintasan komet ke-8 paling dekat daripada mana-mana komet dalam era moden.

“Kini ia berada sejauh 31 kali jarak Bulan dari Bumi,” kata Angkasa.

Jelas Angkasa, masa yang paling sesuai untuk melihat komet itu pada waktu gelap sebelum matahari terbit antara 9 Februari hingga 12 Februari 2017.

“Komet akan bergerak merentasi buruj Hercules di langit timur,” jelas Angkasa. – MYNEWSHUB.CC