Isnin, 20 Februari 2017

Suspek kes rogol pelajar tingkatan 4 ditahan polis di Sibu


TAHAN: Suspek (kiri) diiringi anggota polis ke balai selepas ditahan di tempat kerja tengah hari semalam.

SIBU: Polis menahan seorang pemuda bagi membantu siasatan kes rogol terhadap seorang pelajar perempuan tingkatan empat sebuah sekolah menengah di sini.

Suspek berusia 28 tahun itu ditahan di tempat kerjanya tengah hari semalam.

Terdahulu, seorang suri rumah berusia 33 tahun tampil membuat laporan polis selepas anak perempuannya menceritakan ketelanjurannya dengan suspek.

Mangsa mendakwa telah berkenalan dengan suspek sejak Disember tahun lalu.

Sepanjang perkenalan mereka, mangsa mendakwa pernah melakukan hubungan seks dengan suspek.

Kali pertama dan kedua berlaku pada Januari tahun ini dan terbaharu awal bulan ini.

Dalam pada itu, siasatan lanjut dilakukan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. -UB

2 lelaki ditangkap kerana menyamar sebagai pegawai polis di Petrajaya

KUCHING: Dua lelaki ditangkap apabila menyamar sebagai pegawai polis dan merompak dua warga Indonesia di Lorong Haji Babel, Kampung Semariang, Petrajaya semalam

Dalam insiden sekitar 11.30 pagi itu, kedua-dua warga Indonesia yang bekerja di tapak pembinaan didatangi dua 'pegawai polis' menaiki motosikal di kediaman sewa mereka.

Selepas memperkenalkan diri sebagai polis, dua suspek dikatakan cuba meminta duit dan pasport daripada mangsa.

Bagaimanapun apabila mangsa enggan menyerahkannya, suspek kemudian mengambil beberapa barangan seperti radio dan seutas gelang dan cuba melarikan diri.

Mereka bagaimanapun berjaya diberkas penduduk kampung apabila terdengar jeritan mangsa, dan menyerahkan suspek kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, polis turut merampas beberapa barangan daripada suspek seperti motosikal, kerambit, set radio, telefon bimbit dan alat gerudi.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek juga positif dadah jenis syabu dan mereka akan ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan. -UB

Ahad, 19 Februari 2017

Enam sekeluarga ditawan perompak bertopeng di Serian

SERIAN: Enam sekeluarga ‘ditawan’ selepas rumah mereka di sini dimasuki sekumpulan lelaki yang dipercayai warga Indone­sia, dalam satu kejadian di Kampung Lintang Baru, di Pancor, Batu 28, Jalan Kuching-Serian awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, kesemua mangsa dikatakan sedang nyenyak tidur sebelum dike­jutkan dengan kehadiran empat lelaki yang bertopeng muka.

Kumpulan itu menggele­dah rumah mangsa sebelum melarikan pelbagai barang seperti komputer riba, tel­efon bimbit, barang kemas, jam tangan, wang tunai serta sebuah kenderaan jenis pikap.

Ketua Polis Daerah (KPD) Serian DSP Aswandy Anis berkata, kejadian itu turut menyaksikan kumpulan ber­empat tersebut bersenjatakan pisau yang dipercayai diambil dari rumah mangsa.

“Dalam kejadian itu, empat lelaki bertopeng muka tersebut mengikat ahli keluarga seramai empat orang yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita manakala dua lagi kanak-kanak tidak diganggu,” katanya ketika dihubungi bagi mengesahkan kejadian tersebut.

Polis telah menjalankan sia­satan di tempat kejadian dan operasi menjejaki kumpulan perompak berkenaan sedang giat dijalankan. -UB

Sabtu, 18 Februari 2017

Atas Permintaan Ramai, Nokia 3319 Bakal Kembali Dengan Versi Lebih Moden

Siapa sangka selepas 17 tahun dilancarkan, Nokia bakal melancarkan semula model ikonik mereka iaitu Nokia 3310.

Untuk pengetahuan anda, ini merupakan pertama kali sebuah model dilancarkan semula setelah hampir 2 dekad mula dijual di pasaran.

Buat bekas pengguna Nokia 3310 atau yang pernah menggunakan model ini setidaknya bermain game Snake II, pastinya anda tahu betapa lasaknya telefon ini. Tidak hairanlah telefon ini mempunyai pelbagai gelaran sesuai dengan sifatnya yang tidak rapuh seperti smartphone model terkini.

Dikatakan Nokia 3310 yang bakal dilancarkan tidak lama ini bakal hadir dengan versi yang sedikit moden. Spesifikasi apa yang bakal dikemaskini masih menjadi rahsia buat Nokia sebelum mula dilancarkan kepada umum.

Memandangkan Nokia 3310 ini sudah mempunyai ‘peminat’ yang tersendiri, Nokia merancang untuk mengeluarkan model ini dengan harga yang sedikit mahal berdasarkan spesifikasi yang ditawarkan.

Harga yang diumumkan adalah sekitar€59 (~RM279.09). Sememangnya harga yang masih mampu milik buat mereka yang ingin mengembalikan nostalgia menggunakan Nokia 3310.

Sama-sama kita nantikan bagaimana Nokia bakal bawakan semula model 3310 yang dikatakan versi lebih moden yang bakal diumumkan hujung Februari ini. Kami harap Nokia masih kekalkan composer. Sebuah aplikasi untuk menggubah lagu monotone. Terubat juga rindu kami sebagai bekas pengguna. -The Vocket

Jumaat, 17 Februari 2017

Bayaran BR1M Secara Baucar Mulai Esok, Bayaran Ke Akaun Bank Pada 22 Februari

KUALA LUMPUR, 17 Feb: Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara baucar bagi tahun ini akan dibuat mulai esok manakala pembayran secara terus ke akaun bank akan dibuat pada 22 Februari ini.

Menurut kenyataan Seksyen Komunikasi Korporat, Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan, bagi penerima BR1M yang tidak memberi maklumat berkaitan akaun bank, baucar BR1M akan dihantar secara pos ke alamat kediaman dan baucar itu boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Menurut kenyataan itu orang ramai yang ingin bertanya atau membuat semakan berkaitan BR1M boleh menghubungi talian hotline BR1M di talian 1-800-88-2716.

Khamis, 16 Februari 2017

BR1M: Lebih 5.15 Juta Akan Terima Bayaran Pertama Sabtu Ini

Kuala Lumpur, 16 Feb - Perdana Menteri, Najib Razak berkata kerajaan menerima sebanyak 8,277,391 permohonan bagi BR1M dan 5,153,238 permohonan telah diluluskan setakat ini.

Pembayaran pertama pula akan diagihkan bermula 18 Februari ini.

"Insya-Allah, bermula 18 Februari, bayaran pertama bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia, BR1M akan mula diagihkan kepada mereka yang telah memohon dan layak menerimanya.

"BR1M adalah antara mekanisme utama penyampaian bantuan subsidi bersasar yang digunapakai bagi menggantikan sistem subsidi pukal sebelum ini yang kurang berkesan dan mengalami banyak ketirisan.

Tambah Najib lagi, baki permohonan yang belum lulus (3,123,950) kini dalam proses dan keputusan akan diumum pada Mac.

"Baki permohonan yang belum lulus sebanyak 3,123,950 pula kini berada dalam pemprosesan dan keputusan kelulusan dijangka akan diumumkan pada bulan Mac 2017 kelak.

"Dari segi peringkat umur, kumpulan tertinggi diluluskan adalah daripada golongan 21 hingga 30 tahun serta yang berumur 61 tahun dan ke atas. Sebanyak 2,782,799 pemohon akan menerima bantuan RM1200, manakala 243,434 bagi bantuan RM900, dan selebihnya 2,127,005 layak untuk bantuan RM450." kata Najib menerusi blognya.

Rabu, 15 Februari 2017

Parti Pembangkang Dari Malaya Tidak Memberi Manfaat- Lina Soo



LUNDU: Parti Reformasi Negeri (STAR) hari ini mengeluar kenyataan bahawa parti pembangkang dari Malaya tidak memperjuangkan suara rakyat Sarawak pada hakikat sebenarnya.

Presiden STAR Lina Soo, membidas kenyataan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian yang mengatakan BN akan menang di Tanjong Datu.

"Parti pembangkang dari Malaya ini adalah pengecut.

"Mereka tidak berani membuat keputusan untuk bertanding di sini kerana masih bergantung kepada keputusan kepimpinan pembangkang pusat," katanya kepada media.

Soo turut menegaskan supaya parti pembangkang tersebut berdiam diri kerana mereka tidak berani disebabkan takut untuk kalah.

"Pada hal mereka telah mempertikai demokrasi yang menjadi amalan rakyat.

"Inilah sebenar sikap parti pembangkang dari Malaya yang tidak memberi manfaat kepada rakyat," ujarnya.

Tambah Soo, parti berkenaan hanya memperjuangkan agenda kepimpinan di pusat dan bukan bersuara mewakili rakyat Sarawak. - Sarawakiana

Kerana Tekanan Perasaan Suami Tembak Isteri Sendiri Di Bintulu

Bintulu- Seorang suami yang dipercayai sedang mengalami tekanan perasaan menembak isterinya sendiri dengan senapang patah jenis Bekakok.

Kejadian berlaku jam 4.00 pagi semalam di sebuah rumah kebun di Bukit Kana Ulu, Sangan, Tatau Bintulu ketika isterinya sedang tidur bersama dua anak mereka berusia 8 thn dan 6 thn.

Akibat terkena tembakan tersebut, Meni Ak Jemat, 21 thn mengalami kecederaan pada lengan tangan.

Menurut Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Superitendan Polis Dennis Bunyam, suami mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher dipercayai tindakannya mengelar leher sendiri dengan sebilah parang.

Siasatan awal polis mendapati lelaki keturunan Beketan, berusia 30 thn itu pernah mengalami tekanan perasaan berdasarkan pemeriksaan ke atas rekod perubatannya.

Sepasukan anggota yang tiba di lokasi kejadian merampas selaras senapang patah, satu kelongsong peluru, sebutir peluru hidup dan sebilah parang sebagai bahan kes.

DSP Dennis menambah motif kejadian belum diketahui. Polis meneruskan siasatan kejadian tersebut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Meni dan suaminya menerima rawatan di hospital Bintulu dan keduanya dilapurkan stabil.

Selasa, 14 Februari 2017

Burung Ungu Trash Dove Kegilaan Netizen Menjadi Viral Di Laman Sosial




BAGAIKAN satu kegilaan apabila laman sosial Facebook semalam dihujani sticker baharu seekor burung berwarna ungu menganggukkan kepalanya yang dikongsi berulang kali dalam hampir semua perkongsian.

Menurut laporan The Verge, beberapa laman Facebook rasmi untuk organisasi seperti Vox, Polygon, Business Insider malahan laman berita CNN, BBC juga dipenuhi komen yang mengandungi sticker berkenaan.

Dalam sebuah artikel milik New York Times, seorang pelayar menggunakan sticker tersebut sebanyak 92 kali!

Difahamkan, penggunaan sticker yang dikenali sebagai 'Trash Doves' tersebut mula tular di Thailand, awal bulan ini.

Walaupun sebahagian pelayar menganggap penggunaan sticker tersebut secara berlebihan adalah kelakar, ia juga dianggap biadap apabila digunakan pada berita berkenaan dengan kematian.

"Apa kena dengan semua orang yang gunakan sticker mengarut ini? Terlalu ramai yang 'spam' sticker ini tak kira pada apa jenis berita," kat Menka laman Facebook berita, Daily Mail.

"Semoga dapat hidayah," kata Pak selepas seorang pelayar menggunakan sticker tersebut pada berita mengenai kematian.-SH

Wanita Ditahan Polis Sembunyi Syabu Dalam Coli Di Miri

Miri: Seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun ditahan polis selepas dikesan menyembunyi syabu di dalam colinya ketika menerima rawatan di Hospital Miri.

Perkara itu terbongkar selepas suspek menanggalkan pakaiannya untuk menjalani pembedahan akibat kandungan luar rahim pada jam 10.44 malam. Ketika suspek menjalani rawatan, pihak hospital menemui lapan paket syabu seberat 30.6 gram di dalam coli suspek seterusnya melaporkan kejadian itu kepada polis.

Suspek kini masih dirawat hospital Miri dan masih dalam siasatan pihak polis.

Isnin, 13 Februari 2017

ABANG ROGOL ADIK SENDIRI SEHINGGA MENGANDUNG DITAHAN POLIS DI BETONG

BETONG : Gara-gara melahirkan anak dalam kereta, kisah abang rogol adik di Betong terbongkar semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontingen Sarawak, SAC Dato Dev Kumar, kes ini diketahui umum apabila seorang remaja berumur 17 tahun mendapatkan rawatan selepas bersalin di hospital Sri Aman pagi semalam.

Hasil temuduga dengan mangsa mendapati, beliau telah dirogol oleh abang kandungnya sendiri sejak bulan april tahun lepas di sebuah sekolah dekat Pusa, Betong.

SAC Dato Dev yang dihubungi pemberita RTM mengesahkan kes berkenaan di Kuching.

Malah beliau turut menyembunyikan kandungan terbabit dari pihak hospital sehingga melahirkan anak lelaki di dalam kereta semalam.

Hasil laporan ini telah membawa kepada penangkapan abang kandung mangsa yang berumur 35 tahun di sebuah rumah dekat Debak pada pukul 6.40 petang semalam.

Kes disiasat dibawah seksyen 376, B kanun keseksaan, bagi sumbang mahram.

Sabtu, 11 Februari 2017

Penyokong Pulau Pinang Mengamuk Selepas Kalah kepada Sarawak



BATU KAWAN – Kekalahan pasukan Pulau Pinang pada aksi Liga Super menentang Sarawak malam tadi, menimbulkan kekecohan di Stadium Negeri Batu Kawan, di sini.

Kekecohan dikatakan tercetus apabila penyokong fanatik skuad Harimau Kumbang merusuh di luar stadium selepas perlawanan tamat.

Sebelum itu ketika di dalam stadium sejurus perlawanan tamat, mereka turut menjerit kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

Mereka kemudian berkumpul di luar stadium selepas pasukan RELA dan anggota polis tidak membenarkan mereka berada di perkarangan stadium, sambil bertempik kerana tidak puas hati terhadap Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).

Mereka turut membaling botol air mineral dan mercun ke arah pasukan RELA dan anggota polis yang berkawal di hadapan pintu masuk stadium.

Tindakan agresif penyokong pasukan itu menyebabkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan DSP Shamsuddin Mamat yang turut berada di stadium, berkata keadaan terkawal dan kesemua mereka telah diarahkan untuk bersurai.

Beliau berkata setakat ini, tidak ada tangkapan dilakukan.

Pada aksi malam ini, Pulau Pinang tewas 0-1 kepada Sarawak, iaitu kekalahan keempat berturut-turut skuad Harimau Kumbang dalam empat aksi liga, setakat ini. – BERNAMA

Jumaat, 10 Februari 2017

BR1M Akan Ditambah Jika Harga Minyak Naik

KERAJAAN sedia menambahkan pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sekiranya harga minyak petrol melebihi paras RM3 seliter.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani menegaskan, kerajaan memahami tekanan kos sara hidup yang dihadapi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Golongan B40 terdiri daripada golongan pendapatan bulanan sehingga RM3,855.

"Kerajaan akan terus memantau harga minyak petrol di pasaran. Sekiranya harga terus meningkat dan pendapatan negara bertambah, kerajaan mungkin akan mempertimbangkan untuk terus membantu golongan yang berpendapatan rendah.

"Sekiranya harga minyak terus naik melebihi RM3 seliter, kami faham keadaan yang bakal dialami oleh golongan B40 ini. Kerajaan akan mengeluarkan satu mekanisme," kata Johari seperti yang dipetik dalam Sin Chew Jit Poh.

Menurutnya, BR1M sebanyak RM1,200 pada masa itu tentunya tidak mencukupi lagi, oleh itu kerajaan akan meningkatkan jumlah bantuan bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak. Bagaimanapun, sekiranya harga minyak merosot, kerajaan perlu mengambil semula BR1M. 

Johari turut berkata, kerajaan juga mengkaji pelaksanaan di beberapa negara maju dengan membiarkan harga minyak terapung dan penggiat industri minyak dan gas akan menentukannya.

“Apabila kerajaan membuat keputusan mengenai harga siling, sama ada penggiat industri minyak dan gas mahu menjual minyak pada harga rendah bagi tujuan promosi, itu terpulang kepada mereka. Ini antara pilihan yang kami sedang teliti. 

"Namun sebelum melaksanakannya, kerajaan perlu mengkaji apa kesan dan akibatnya kelak,” katanya. -SH

Gerhana Bulan Penumbra pagi esok




KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan sebahagian daripada fasa Gerhana Bulan Penumbra pada jam 7.25 pagi esok.

Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, fenomena itu dapat disaksikan di Malaysia seawal jam 6.34 pagi dan berakhir pada 10.53 pagi.

Menurut agensi itu, Gerhana Bulan Penumbra berlaku apabila bulan memasuki bayang-bayang penumbra bumi dan kelihatan sedikit gelap.

"Matahari, bumi dan bulan berada dalam kedudukan yang mana bulan membelakangi bumi dan hanya menerima sebahagian daripada bayang-bayang bumi jatuh ke atas bulan.

"Oleh itu, sukar membezakan antara bulan penuh normal dan Gerhana Bulan Penumbra.

 

"Agak sukar juga melihat perubahan di permukaan bulan ketika fenomena ini.

 

"Ia mungkin kelihatan lebih jelas dengan bantuan peralatan seperti teleskop atau binokular. Faktor cuaca turut mempengaruhi," katanya.

ANGKASA tidak mengadakan program pencerapan untuk orang awam untuk fenomena itu. -BH

Khamis, 9 Februari 2017

Keluarga mangsa dibaham buaya di Santubong mohon buaya menyerang ditangkap dengan segera

KUCHING: Keluarga mangsa serangan buaya di Sungai Santubong di sini memohon pihak bertanggungjawab agar menangkap reptilia tersebut demi keselamatan penduduk.

Seorang ahli keluarga mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Li, 50-an, berkata populasi buaya semakin membimbangkan terutama kepada para nelayan yang menjadikan sungai tersebut sebagai sumber rezeki.

“Ini bukan kes (serangan buaya) pertama dan disebabkan itu, kita merayu kepada kerajaan serta pihak yang berkenaan untuk bertindak segera mengurangkan populasi buaya.

“Kami (nelayan) bergantung kepada sungai tersebut untuk sumber rezeki dan kami tidak mahu insiden seperti ini terus menghantui kami,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Menurut Li, buaya terbesar pernah dilihatnya di sungai tersebut dianggarkan sepanjang sehingga 15 kaki dan empat kaki lebar.

“Sebelum ini, pernah juga pihak-pihak tertentu berjaya menangkap buaya, tetapi ada lagi buaya lebih besar dan pernah juga penduduk kampung melihat sebesar sebuah van,” jelasnya.

Sekitar jam 10.30 pagi semalam, anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui separuh daripada mayat dipercayai mangsa Selamat Raub, 54, yang dilaporkan hilang ketika menjala udang di tebingan sungai tersebut.

“Dia (mangsa) keluar sekitar jam 10 malam tadi (kelmarin) dan sehingga jam 5 pagi tadi (semalam) dia masih belum pulang menyebabkan ibu terus membuat laporan polis berhubung kejadian,” kata anak mangsa yang enggan meneruskan temu bual selepas itu.

Sementara itu, menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Farhan Sufyan Borhan, anggota SAR menemui barang-barang milik mangsa sekitar jam 9.46 pagi.

“Operasi pencarian dilakukan di sepanjang tebingan sungai dan anggota kita berjaya menemui barang-barang mangsa seperti telefon bimbit dan bekalan  makanan.

“Pada jam 10.29 pagi, separuh mayat (dari paras pinggang ke kaki) dipercayai mangsa berjaya ditemui kira-kira tiga kilometer dari lokasi barangan mangsa ditemui,” kata Farhan, semalam.

Difahamkan, operasi mencari sebahagian lagi badan mangsa dihentikan sekitar tengah hari semalam atas faktor keselamatan pasukan keselamatan.

“Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah dihubungi untuk tindakan selanjutnya,” kata Farhan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak. -UB

Rabu, 8 Februari 2017

Empat gerai di Jeti Samarahan terbakar

Kota Samarahan - Empat buah gerai yang terletak berhampiran Jeti Feri Kota Samarahan di Jalan Muara Tuang dekat sini musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu telah mengakibatkan tiga buah gerai menjual kuih dan minuman tersebut musnah terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi terbakar kira-kira 30 peratus.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, Kam Liman berkata,sembilan anggota bomba bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.34 pagi.

Katanya, sebaik tiba, api sedang marak membakar tiga daripada lapan buah gerai yang terletak di situ.

"Kepantasan anggota bomba melakukan kerja-kerja pemadaman api berjaya menyelamatkan empat buah gerai daripada turut musnah terbakar," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.Mengulas lanjut, Kam memberitahu, punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu masih lagi disiasat."Operasi pemadaman api tamat sepenuhnya pada pukul 6.38 pagi," katanya.

Bunga Pakma Berkembang sehingga Jumaat Di Gunung Gading



Pekan Lundu yang lanskapnya berlatar belakang Gunung Gading akan menghadapi fenomena yang mungkin masyarakat luar dapat saksikan.

Walaupun sedang giat parti-parti politik melakukan kempen politik Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, Gunung Gading akan menjadi tumpuan orang ramai untuk melihat bunga pakma (Rafflesia) berkembang.

Bunga Pakma adalah bunga terbesar di dunia dan ia hanya terdapat di kawasan hutan hujan tropika. Selain daripada Gunung Kinabalu, Gunung Gading menjadi tempat bunga ini hidup dan membiak.

Bunga Pakma spesis 'Tuan Mudae' adalah spesis yang subur di Gunung Gading dan jangka hayat ia berkembang hanya tujuh hari.

Dalam masa berkempen ini, datanglah ke Taman Negara Gunung Gading untuk menyaksi sendiri Bunga Pakma berkembang kerana fenomena sebegini akan menjadi pengalaman yang cukup berharga kepada pengunjung.-Sarawakiana

Komet Akan Hampiri Bumi 11 Februari Ini



KUALA LUMPUR – Komet dikenali sebagai 45P/Honda-Mrkos-Pajdusakova akan berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi pada 11 Februari ini.

Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dalam satu kenyataan media di sini hari ini memberitahu, komet tersebut akan berada pada jarak 12,430,000 kilometer dengan planet Bumi.

Lintasan Komet Ke-8 Paling Menghampiri Bumi 11 Februari

“Dengan kecerahan dijangka mencecah magnitud enam, ia dapat dilihat agak mudah menerusi binokular ataupun teleskop kecil,” kata kenyataan itu.

Menurut Angkasa, fenomena alamiah tersebut merupakan lintasan komet ke-8 paling dekat daripada mana-mana komet dalam era moden.

“Kini ia berada sejauh 31 kali jarak Bulan dari Bumi,” kata Angkasa.

Jelas Angkasa, masa yang paling sesuai untuk melihat komet itu pada waktu gelap sebelum matahari terbit antara 9 Februari hingga 12 Februari 2017.

“Komet akan bergerak merentasi buruj Hercules di langit timur,” jelas Angkasa. – MYNEWSHUB.CC

Selasa, 7 Februari 2017

SUPP mahu bekas perogol bersiri diharamkan masuk Sarawak

MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mahu pihak berkuasa di Sarawak mengharamkan bekas perogol bersiri, rakyat Malaysia, S Selva Kumar daripada memasuki negeri ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Sebastian Ting berkata kerajaan tidak boleh mengambil risiko membiarkan individu yang berpotensi mendatangkan bahaya bergerak secara bebas.

“Kita berharap Jabatan Imigresen Negeri dapat melaksanakan larangan itu serta merta. Beliau (Selva) tidak dialu-alukan datang ke Sarawak dan kita tidak memerlukan individu seperti itu,” katanya di sini semalam.

Ting mengulas tindakan kerajaan Sabah yang mengharamkan bekas perogol bersiri itu memasuki Sabah.

Selva tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam (Selasa) selepas menjalani hukuman penjara 24 tahun di Kanada atas kesalahan rogol dan melakukan serangan seksual hampir 1,000 wanita dan kanak-kanak.

Pihak berkuasa Kanada mengusir pulang lelaki yang berasal dari Pulau Pinang itu selepas dibebaskan pada 29 Januari lalu.

Sementara itu, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP), Bruce Chai turut mengalu-alukan cadangan mengharamkan kemasukan Selva ke Sarawak.

“Kita tidak harus menghadkan kemasukan individu radikal dalam isu perkauman dan ektremis agama malah individu terlibat dalam kegiatan jenayah,” katanya. -UB

SUPP mahu bekas perogol bersiri diharamkan masuk Sarawak

MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mahu pihak berkuasa di Sarawak mengharamkan bekas perogol bersiri, rakyat Malaysia, S Selva Kumar daripada memasuki negeri ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Sebastian Ting berkata kerajaan tidak boleh mengambil risiko membiarkan individu yang berpotensi mendatangkan bahaya bergerak secara bebas.

“Kita berharap Jabatan Imigresen Negeri dapat melaksanakan larangan itu serta merta. Beliau (Selva) tidak dialu-alukan datang ke Sarawak dan kita tidak memerlukan individu seperti itu,” katanya di sini semalam.

Ting mengulas tindakan kerajaan Sabah yang mengharamkan bekas perogol bersiri itu memasuki Sabah.

Selva tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam (Selasa) selepas menjalani hukuman penjara 24 tahun di Kanada atas kesalahan rogol dan melakukan serangan seksual hampir 1,000 wanita dan kanak-kanak.

Pihak berkuasa Kanada mengusir pulang lelaki yang berasal dari Pulau Pinang itu selepas dibebaskan pada 29 Januari lalu.

Sementara itu, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP), Bruce Chai turut mengalu-alukan cadangan mengharamkan kemasukan Selva ke Sarawak.

“Kita tidak harus menghadkan kemasukan individu radikal dalam isu perkauman dan ektremis agama malah individu terlibat dalam kegiatan jenayah,” katanya. -UB