Isnin, 20 Februari 2017

Suspek kes rogol pelajar tingkatan 4 ditahan polis di Sibu


TAHAN: Suspek (kiri) diiringi anggota polis ke balai selepas ditahan di tempat kerja tengah hari semalam.

SIBU: Polis menahan seorang pemuda bagi membantu siasatan kes rogol terhadap seorang pelajar perempuan tingkatan empat sebuah sekolah menengah di sini.

Suspek berusia 28 tahun itu ditahan di tempat kerjanya tengah hari semalam.

Terdahulu, seorang suri rumah berusia 33 tahun tampil membuat laporan polis selepas anak perempuannya menceritakan ketelanjurannya dengan suspek.

Mangsa mendakwa telah berkenalan dengan suspek sejak Disember tahun lalu.

Sepanjang perkenalan mereka, mangsa mendakwa pernah melakukan hubungan seks dengan suspek.

Kali pertama dan kedua berlaku pada Januari tahun ini dan terbaharu awal bulan ini.

Dalam pada itu, siasatan lanjut dilakukan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. -UB

2 lelaki ditangkap kerana menyamar sebagai pegawai polis di Petrajaya

KUCHING: Dua lelaki ditangkap apabila menyamar sebagai pegawai polis dan merompak dua warga Indonesia di Lorong Haji Babel, Kampung Semariang, Petrajaya semalam

Dalam insiden sekitar 11.30 pagi itu, kedua-dua warga Indonesia yang bekerja di tapak pembinaan didatangi dua 'pegawai polis' menaiki motosikal di kediaman sewa mereka.

Selepas memperkenalkan diri sebagai polis, dua suspek dikatakan cuba meminta duit dan pasport daripada mangsa.

Bagaimanapun apabila mangsa enggan menyerahkannya, suspek kemudian mengambil beberapa barangan seperti radio dan seutas gelang dan cuba melarikan diri.

Mereka bagaimanapun berjaya diberkas penduduk kampung apabila terdengar jeritan mangsa, dan menyerahkan suspek kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, polis turut merampas beberapa barangan daripada suspek seperti motosikal, kerambit, set radio, telefon bimbit dan alat gerudi.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek juga positif dadah jenis syabu dan mereka akan ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan. -UB

Ahad, 19 Februari 2017

Enam sekeluarga ditawan perompak bertopeng di Serian

SERIAN: Enam sekeluarga ‘ditawan’ selepas rumah mereka di sini dimasuki sekumpulan lelaki yang dipercayai warga Indone­sia, dalam satu kejadian di Kampung Lintang Baru, di Pancor, Batu 28, Jalan Kuching-Serian awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, kesemua mangsa dikatakan sedang nyenyak tidur sebelum dike­jutkan dengan kehadiran empat lelaki yang bertopeng muka.

Kumpulan itu menggele­dah rumah mangsa sebelum melarikan pelbagai barang seperti komputer riba, tel­efon bimbit, barang kemas, jam tangan, wang tunai serta sebuah kenderaan jenis pikap.

Ketua Polis Daerah (KPD) Serian DSP Aswandy Anis berkata, kejadian itu turut menyaksikan kumpulan ber­empat tersebut bersenjatakan pisau yang dipercayai diambil dari rumah mangsa.

“Dalam kejadian itu, empat lelaki bertopeng muka tersebut mengikat ahli keluarga seramai empat orang yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita manakala dua lagi kanak-kanak tidak diganggu,” katanya ketika dihubungi bagi mengesahkan kejadian tersebut.

Polis telah menjalankan sia­satan di tempat kejadian dan operasi menjejaki kumpulan perompak berkenaan sedang giat dijalankan. -UB

Sabtu, 18 Februari 2017

Atas Permintaan Ramai, Nokia 3319 Bakal Kembali Dengan Versi Lebih Moden

Siapa sangka selepas 17 tahun dilancarkan, Nokia bakal melancarkan semula model ikonik mereka iaitu Nokia 3310.

Untuk pengetahuan anda, ini merupakan pertama kali sebuah model dilancarkan semula setelah hampir 2 dekad mula dijual di pasaran.

Buat bekas pengguna Nokia 3310 atau yang pernah menggunakan model ini setidaknya bermain game Snake II, pastinya anda tahu betapa lasaknya telefon ini. Tidak hairanlah telefon ini mempunyai pelbagai gelaran sesuai dengan sifatnya yang tidak rapuh seperti smartphone model terkini.

Dikatakan Nokia 3310 yang bakal dilancarkan tidak lama ini bakal hadir dengan versi yang sedikit moden. Spesifikasi apa yang bakal dikemaskini masih menjadi rahsia buat Nokia sebelum mula dilancarkan kepada umum.

Memandangkan Nokia 3310 ini sudah mempunyai ‘peminat’ yang tersendiri, Nokia merancang untuk mengeluarkan model ini dengan harga yang sedikit mahal berdasarkan spesifikasi yang ditawarkan.

Harga yang diumumkan adalah sekitar€59 (~RM279.09). Sememangnya harga yang masih mampu milik buat mereka yang ingin mengembalikan nostalgia menggunakan Nokia 3310.

Sama-sama kita nantikan bagaimana Nokia bakal bawakan semula model 3310 yang dikatakan versi lebih moden yang bakal diumumkan hujung Februari ini. Kami harap Nokia masih kekalkan composer. Sebuah aplikasi untuk menggubah lagu monotone. Terubat juga rindu kami sebagai bekas pengguna. -The Vocket

Jumaat, 17 Februari 2017

Bayaran BR1M Secara Baucar Mulai Esok, Bayaran Ke Akaun Bank Pada 22 Februari

KUALA LUMPUR, 17 Feb: Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara baucar bagi tahun ini akan dibuat mulai esok manakala pembayran secara terus ke akaun bank akan dibuat pada 22 Februari ini.

Menurut kenyataan Seksyen Komunikasi Korporat, Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan, bagi penerima BR1M yang tidak memberi maklumat berkaitan akaun bank, baucar BR1M akan dihantar secara pos ke alamat kediaman dan baucar itu boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Menurut kenyataan itu orang ramai yang ingin bertanya atau membuat semakan berkaitan BR1M boleh menghubungi talian hotline BR1M di talian 1-800-88-2716.

Khamis, 16 Februari 2017

BR1M: Lebih 5.15 Juta Akan Terima Bayaran Pertama Sabtu Ini

Kuala Lumpur, 16 Feb - Perdana Menteri, Najib Razak berkata kerajaan menerima sebanyak 8,277,391 permohonan bagi BR1M dan 5,153,238 permohonan telah diluluskan setakat ini.

Pembayaran pertama pula akan diagihkan bermula 18 Februari ini.

"Insya-Allah, bermula 18 Februari, bayaran pertama bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia, BR1M akan mula diagihkan kepada mereka yang telah memohon dan layak menerimanya.

"BR1M adalah antara mekanisme utama penyampaian bantuan subsidi bersasar yang digunapakai bagi menggantikan sistem subsidi pukal sebelum ini yang kurang berkesan dan mengalami banyak ketirisan.

Tambah Najib lagi, baki permohonan yang belum lulus (3,123,950) kini dalam proses dan keputusan akan diumum pada Mac.

"Baki permohonan yang belum lulus sebanyak 3,123,950 pula kini berada dalam pemprosesan dan keputusan kelulusan dijangka akan diumumkan pada bulan Mac 2017 kelak.

"Dari segi peringkat umur, kumpulan tertinggi diluluskan adalah daripada golongan 21 hingga 30 tahun serta yang berumur 61 tahun dan ke atas. Sebanyak 2,782,799 pemohon akan menerima bantuan RM1200, manakala 243,434 bagi bantuan RM900, dan selebihnya 2,127,005 layak untuk bantuan RM450." kata Najib menerusi blognya.

Rabu, 15 Februari 2017

Parti Pembangkang Dari Malaya Tidak Memberi Manfaat- Lina Soo



LUNDU: Parti Reformasi Negeri (STAR) hari ini mengeluar kenyataan bahawa parti pembangkang dari Malaya tidak memperjuangkan suara rakyat Sarawak pada hakikat sebenarnya.

Presiden STAR Lina Soo, membidas kenyataan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian yang mengatakan BN akan menang di Tanjong Datu.

"Parti pembangkang dari Malaya ini adalah pengecut.

"Mereka tidak berani membuat keputusan untuk bertanding di sini kerana masih bergantung kepada keputusan kepimpinan pembangkang pusat," katanya kepada media.

Soo turut menegaskan supaya parti pembangkang tersebut berdiam diri kerana mereka tidak berani disebabkan takut untuk kalah.

"Pada hal mereka telah mempertikai demokrasi yang menjadi amalan rakyat.

"Inilah sebenar sikap parti pembangkang dari Malaya yang tidak memberi manfaat kepada rakyat," ujarnya.

Tambah Soo, parti berkenaan hanya memperjuangkan agenda kepimpinan di pusat dan bukan bersuara mewakili rakyat Sarawak. - Sarawakiana